Parti Buruh tekan kerajaan UK supaya iktiraf negara Palestin

Parti Buruh tekan kerajaan UK supaya iktiraf negara Palestin

BENDERA Palestin berkibar di tengah runtuhan bangunan di Beit Lahia, utara Gaza.– AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kerajaan United King­dom (UK) berdepan tekanan daripada pemimpin kanan Parti Buruh untuk secara rasmi mengiktiraf kene­garaan Palestin menjelang persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dijadualkan berlangsung di New York bulan depan.

Tokoh Parti Buruh yang juga mangsa terselamat Holocaust, Alfred Dubs berkata, pengiktirafan itu akan menguatkan kedudukan Palestin dalam rundingan damai akan datang dengan Israel serta memberikan mereka ‘maruah diri’.

“Walaupun ia tidak membawa hasil segera, ia tetap akan memperkukuh kedudukan Pa­lestin,” katanya kepada The Guardian.

Peter Hain, bekas menteri kerajaan pula menegaskan menangguhkan pengiktirafan sehingga rundingan selesai hanya akan membolehkan pendudukan haram Israel berterusan.

“Pengiktirafan sepatutnya menjadi pemangkin, bukan hasil akhir rundingan damai,” ujarnya.

Persidangan PBB itu dijangka membuka ruang kepada UK dan Perancis untuk mengiktiraf Palestin secara rasmi.

Arab Saudi, yang menjadi pengerusi bersama bersama Perancis sebelum ini menggesa negara-negara untuk melihat pengiktirafan negara Palestin sebagai prasyarat kepada perdamaian, bukan hasilnya.

Perancis dan Arab Saudi menegaskan matlamat persidangan itu bukan untuk menghidupkan semula proses yang tiada penghujung, tetapi untuk melaksanakan penyelesaian dua negara secara muktamad.

Kedua-dua negara turut meminta peserta persidangan menyatakan secara jelas tindakan yang sanggup diambil sama ada secara individu atau kolektif dalam melaksanakan tanggungjawab antarabangsa bagi menyokong penyelesaian aman isu Palestin.

Presiden Perancis Emma­nuel Macron sebelum ini memberi bayangan negaranya mungkin menyertai 147 negara lain yang sudah pun mengiktiraf Palestin.

Setiausaha Luar UK, David Lammy memberitahu Parlimen rundingan sedang berjalan dengan rakan sejawat Perancis mengenai perkara itu, namun menegaskan UK mahukan lebih daripada sekadar isyarat simbolik di persidangan tersebut.

Awal Mei lalu, seramai 69 ahli politik Parti Buruh terma­suk beberapa menteri kerajaan menandatangani surat anjuran kumpulan Labour Friends of Palestine and the Middle East mendesak Perdana Menteri Keir Starmer supaya mengiktiraf Palestin dengan menyifatkannya sebagai ‘tingkap peluang yang unik’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×