SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berang selepas kapal perang baharu milik negara itu mengalami kerosakan teruk semasa majlis pelancarannya kelmarin.
Jong Un yang menyaksikan sendiri kejadian itu menyifatkannya sebagai insiden memalukan dan menjatuhkan maruah negara malah, berikrar akan menghukum pihak yang bertanggungjawab, lapor media rasmi negara itu.
Agensi berita rasmi Korean Central News Agency (KCNA) melaporkan, berlaku masalah pada sistem pelancaran yang menyebabkan bahagian belakang kapal seberat 5,000 tan itu meluncur ke dalam air lebih awal daripada sepatutnya.
Akibatnya, bahagian belakang kapal tenggelam dalam air manakala bahagian hadapannya masih terlekat di atas pelantar, mengakibatkan kerosakan pada badan kapal.
Jong Un menyifatkan kegagalan ini sebagai tindakan jenayah dan menyalahkan beberapa agensi kerajaan, termasuk Jabatan Industri Senjata, Universiti Teknologi Kim Chaek dan Biro Reka Bentuk Kapal Pusat atas kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab.
Imej satelit menunjukkan kapal tersebut berada dalam keadaan senget, dengan bahagian belakang dalam air dan bahagian depan masih di darat.
Pakar Maritim Amerika Syarikat (AS), Profesor Sal Mercogliano berkata, jika kapal tidak bergerak sepenuhnya semasa pelancaran, tekanan yang tidak seimbang boleh merosakkan struktur kapal.
Seorang lagi penganalisis, Carl Schuster dari Hawaii, menjelaskan, tekanan tidak seimbang itu boleh menyebabkan kerangka kapal bengkok, retak atau bahkan patah sepenuhnya, bergantung kepada di mana tekanan paling kuat berlaku.
Kegagalan ini dilihat sebagai satu tamparan kepada usaha Korea Utara untuk memodenkan armada lautnya, yang kini sedang giat dibangunkan buat kali pertama dalam beberapa dekad.
Kapal itu sepatutnya menjadi kapal permukaan besar kedua yang didedahkan oleh Korea Utara dalam masa singkat.
April lalu, Jong Un melancarkan kapal pemunah baharu dinamakan Choe Hyon yang didakwa dilengkapi senjata paling berkuasa dan bakal beroperasi awal tahun depan.










