TEL AVIV: Israel memperhebatkan ‘kempen penaklukan’ wilayah Palestin selepas mengumumkan rancangan menambah 22 lagi penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.
Pelan pembangunan terbesar dalam tempoh beberapa dekad itu bagaimanapun dikecam Jordan dan Britain yang menyifatkan ia sebagai ‘halangan yang disengajakan’ terhadap penubuhan negara Palestin serta mengancam penyelesaian dua negara.
Sejak beberapa dekad lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali menyelar penempatan haram Yahudi di Tebing Barat kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan menggugat prospek keamanan secara berkekalan.
Keputusan dibuat Kabinet Keselamatan di Tel Aviv itu diumumkan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich bersama Menteri Pertahanan, Israel Katz pada Khamis yang terus menyokong perang genosid ke atas Gaza.
Projek itu melibatkan kawasan di selatan dan utara Tebing Barat yang diduduki sejak 1967 iaitu Judea serta Samaria dan memperbaharui penempatan haram Yahudi di utara Samaria selain mengukuhkan paksi timur yang dianggap sebagai ‘tulang belakang’ negara haram Israel.
Menurut Katz, inisiatif itu kononnya akan mengubah wajah rantau Asia Barat selepas kerajaan ‘ekstremis’ pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu juga merancang untuk menguasai Baitulmuqaddis dan Gaza tanpa menghiraukan bantahan komuniti antarabangsa.
Hamas dalam satu kenyataan menegaskan Zionis mempercepatkan pelan keji mereka untuk ‘meyahudikan’ tanah Palestin di bawah projek tersebut.
“Ia adalah pencabulan secara terang-terangan ke atas undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB,” ujar kumpulan pejuang bumi itu.










