GAZA: Rejim Israel menggugurkan lebih 100,000 tan bahan letupan di Semenanjung Gaza sejak melancarkan serangan 19 bulan lalu, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Khamis.
Dalam kenyataan terbaharu itu, pihak berkuasa Gaza mendedahkan statistik utama mengenai peperangan yang bermula pada 7 Oktober 2023, termasuk angka korban dan kemusnahan besar-besaran ke atas penduduk Palestin.
Serangan tersebut mengorbankan atau menyebabkan kehilangan lebih 62,000 rakyat Palestin termasuk lebih 10,000 yang masih tertimbus di bawah runtuhan tanpa nasib yang diketahui.
Israel didakwa melakukan lebih 12,000 pembunuhan beramai-ramai termasuk 11,926 serangan terhadap isi rumah Palestin yang telah mengorbankan sepenuhnya 2,200 keluarga serta mengeluarkan 6,350 individu daripada daftar sivil.
Kempen ketenteraan itu turut menyasarkan kawasan perkuburan dengan tentera Israel didakwa mencuri 2,300 mayat dari tanah perkuburan Gaza dan mewujudkan tujuh kubur besar di dalam hospital dengan hanya 529 mayat dapat dikeluarkan setakat ini.
Dari segi krisis kesihatan, lebih 2.1 juta kes penyakit berjangkit dilaporkan akibat perpindahan paksa dan keruntuhan sistem kesihatan Gaza termasuk 71,338 kes hepatitis.
Kemusnahan juga melibatkan infrastruktur keagamaan dan kemanusiaan. Sebanyak 828 masjid dimusnahkan sepenuhnya dan 167 lagi rosak sebahagian selain tiga gereja turut menjadi sasaran.
Daripada 60 tanah perkuburan, 19 dimusnahkan sepenuhnya atau sebahagiannya.
Sebagai sebahagian daripada dasar kebuluran, Israel turut mensasarkan 66 pusat bantuan termasuk 29 dapur amal makanan dan 37 pusat bantuan lain serta menyekat kemasukan 37,400 trak bantuan dan bahan api sejak penutupan penuh sempadan lebih dua bulan lalu. – AGENSI










