KAHERAH: Israel akan melonggarkan sekatan dan membenarkan bekalan makanan terhad memasuki Semenanjung Gaza selepas tentera rejim itu memulakan operasi darat besar-besaran di utara dan selatan wilayah tersebut.
Langkah itu diambil ketika Israel menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat berikutan sekatan bantuan kemanusiaan sejak Mac lalu serta amaran kebuluran yang semakin buruk di wilayah itu.
Rejim itu memperhebat serangan ketenteraan terhadap Gaza dengan ratusan orang terbunuh dalam tempoh seminggu lalu, termasuk sekurang-kurangnya 150 kematian dalam serangan semalaman.
“Atas saranan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan demi keperluan operasi untuk meluaskan pertempuran bagi menewaskan Hamas, Israel akan membenarkan kemasukan jumlah minimum makanan bagi mengelakkan krisis kebuluran di Gaza,” kata kenyataan pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Pengumuman itu dibuat ketika pusingan baharu rundingan antara Israel dan Hamas yang berlangsung di Qatar dilaporkan masih menemui jalan buntu.
Netanyahu memaklumkan rundingan tersebut turut melibatkan cadangan gencatan senjata dan pertukaran tebusan, serta syarat untuk menamatkan perang melalui pelucutan senjata dan pengusiran pemimpin Hamas, cadangan yang sebelum ini ditolak oleh kumpulan pejuang itu.
Tentera Israel dalam kenyataannya memaklumkan masih boleh mengurangkan operasi ketenteraan sekiranya ia dapat membantu mencapai perjanjian di Doha.
Ketua Staf Tentera Israel, Eyal Zamir dilaporkan memberitahu pasukannya di Gaza akan memberi ruang yang diperlukan oleh pimpinan politik dalam memeterai rundingan tebusan.
Menurut IDF, lebih 670 sasaran Hamas diserang sepanjang minggu lalu bagi menyokong operasi darat baharu dinamakan Gideon’s Chariots yang bertujuan menguasai beberapa bahagian Gaza.
Puluhan pejuang Hamas dilaporkan terbunuh dalam serangan tersebut.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 464 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh seminggu lalu.
“Banyak keluarga yang ‘lenyap’ daripada daftar penduduk akibat pengeboman semalaman Israel,” kata jurucakap kementerian, Khalil Al-Deqran kepada Reuters.
Israel menyekat sepenuhnya kemasukan bantuan perubatan, makanan, dan bahan api ke Gaza sejak awal Mac sebagai tekanan terhadap Hamas untuk membebaskan tebusan malah merancang mengambil alih sepenuhnya Gaza dan mengawal agihan bantuan.
RUNDINGAN GAGAL
Pakar antarabangsa memberi amaran Gaza kini di ambang kebuluran.
Mengulas rundingan di Qatar, seorang pegawai Hamas berkata, pendekatan Israel masih tidak berubah.
“Rejim tetap mahu pembebasan tebusan tanpa sebarang komitmen untuk menamatkan perang.
“Hamas masih mencadangkan pembebasan semua tebusan Israel dengan syarat perang ditamatkan, pengunduran tentera Israel dari Gaza, sekatan bantuan dihentikan dan tahanan Palestin dibebaskan,” katanya.
Seorang pegawai kanan Israel mengesahkan masih tiada kemajuan dalam rundingan setakat ini.
Di Israel, Einav Zangauker, ibu kepada tebusan, Matan Zangauker, mengkritik kerajaan Netanyahu kerana enggan menamatkan perang demi kepentingan politik.
“Kepimpinan Israel masih bertegas hanya mahukan perjanjian separa. Mereka sengaja menyeksa kami. Pulangkan anak-anak kami! Kesemua 58 orang,” luahnya dalam hantaran di media sosial.
Bekas Penganalisis Dasar Asia Barat Jabatan Negara AS, Aaron David Miller berkata, kebuntuan dalam perkara utama perjanjian yang masih gagal diselesaikan menyebabkan konflik berterusan sukar dielakkan.
Menurut beliau, perkara ini menyebabkan tercetusnya beberapa perjanjian sementara sejak dahulu, termasuk gencatan senjata dari Januari hingga Mac lalu.
Dalam insiden terbaharu, serangan udara Israel pada tengah malam memusnahkan sebuah kawasan khemah menempatkan keluarga pelarian di Khan Younis, mengorbankan ratusan wanita dan kanak-kanak.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan Hospital Indonesia, antara kemudahan perubatan terbesar di utara terpaksa menghentikan operasi akibat tembakan bertali arus.
Tentera Israel berkata, pasukannya mensasarkan tapak infrastruktur Hamas di utara Gaza, termasuk kawasan berhampiran Hospital Indonesia.
Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin memaklumkan, lebih 75 peratus ambulans tidak dapat beroperasi akibat kekurangan bahan api.











