DEVON: Sebuah telefon pintar iPhone 13 Pro Max ditemukan dalam keadaan sempurna dan masih berfungsi walaupun terjatuh dari ketinggian 4,267 meter ketika pemiliknya melakukan terjunan udara.
Kejadian luar biasa itu dialami oleh Casey Flay, 37, seorang jurutera dan peminat aktiviti terjunan udara dari Devon, United Kingdom (UK) yang sedang melakukan lompatan dari pesawat menggunakan sut sayap bulan lalu.
Menurut Flay, telefon pintarnya terjatuh sejurus dia keluar dari pesawat apabila salah satu poket hadapan pada sut sayap yang dipakainya tidak ditutup dengan kemas.
“Saya bawa telefon dalam sut sayap sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya rakan-rakan tidak dapat kesan lokasi saya mendarat. Tapi saya terlupa tutup poket. Dalam rakaman kamera GoPro di topi keledar saya, jelas kelihatan telefon itu terkeluar dan terus terbang, hilang begitu sahaja,” katanya.
Mulanya, Flay menyangka dia tertinggal telefon itu di dalam pesawat namun setelah mencarinya dan tidak menjumpainya, dia menggunakan aplikasi ‘Find My iPhone’ yang menunjukkan telefon itu berada di sebuah kawasan hutan kira-kira 6.4 kilometer dari lokasi pendaratannya.
Setelah berjalan selama 30 minit menuju ke lokasi, dia terkejut mendapati telefon tersebut berada dalam keadaan hampir sempurna dan masih boleh digunakan seperti biasa malah, lebih baik daripada sebelumnya.
“Beberapa tahun lepas saya tertumpah minuman atas telefon ini. Sejak itu, satu daripada butang sisi tersangkut dan tak pernah kembali normal. Tapi selepas jatuh dari langit, butang itu kini berfungsi seperti biasa,” katanya.
“Apa yang lebih menghairankan, tiada sebarang calar atau kerosakan. Seolah-olah telefon itu baru sahaja terjatuh atas tanah begitu sahaja. Ia benar-benar luar biasa,” katanya.
Sebelum ini, sebuah iPhone 14 dilaporkan masih berfungsi selepas ditemui 33 hari tenggelam di dasar lautan, manakala sebuah lagi iPhone 10 ditemui dalam keadaan boleh digunakan selepas 10 bulan berada di dasar sungai.










