NEW DELHI: India melancarkan kempen boikot terhadap Turkiye susulan sokongan ketara Ankara terhadap Pakistan ekoran serangan pengganas di wilayah Kashmir yang ditadbir India pada 22 April lalu.
Serangan berkenaan meragut nyawa 26 orang awam di Pahalgam, dan New Delhi dengan tegas menuduh Islamabad sebagai dalang, namun dinafikan keras oleh Pakistan.
Sebagai tindak balas, India melancarkan serangan udara ke atas beberapa kem pengganas yang didakwa berada di Kashmir yang ditadbir Pakistan dan juga dalam wilayah Pakistan sendiri pada 7 Mei.
Sebagai balasan, Pakistan dilapor telah menggunakan sejumlah besar dron buatan Turki yang menceroboh masuk ke ruang udara India, sekali gus menyerlahkan hubungan ketenteraan erat antara kedua-dua negara Islam tersebut.
Turki, yang sebelum ini diketahui menyokong pendirian Pakistan dalam isu Kashmir, turut mengutuk serangan pengganas berkenaan namun dalam masa sama mengecam tindakan ketenteraan India, menyifatkannya sebagai satu langkah yang meningkatkan risiko tercetusnya perang besar-besaran.
“Kami mengecam tindakan provokatif seperti serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam,” menurut kenyataan rasmi Turki yang turut menyokong gesaan Pakistan supaya satu siasatan bebas dijalankan berhubung insiden pada 22 April.
Bagaimanapun, India menolak gesaan itu sambil menyifatkan ia sebagai taktik melengah-lengahkan siasatan, berdasarkan pengalaman lalu di mana Pakistan dikatakan tidak memberi kerjasama dalam kes-kes keganasan terdahulu.
Tindakan Turki itu menimbulkan gelombang kebencian awam di India, dengan kempen “Boikot Turki” kini mendapat sambutan meluas di mana mereka bukan sahaja membatalkan percutian ke negara berkenaan malah para peniaga juga menghentikan pembelian barangan dari Turki.
Pada 19 Mei, Persekutuan Pengedar Produk Pengguna Seluruh India, yang mewakili pembekal kepada lebih 13 juta kedai runcit, mengumumkan boikot tanpa had ke atas semua produk keluaran Turki termasuk coklat, biskut dan produk penjagaan kulit.
Eksport pertahanan Turki melonjak 103 peratus dalam tempoh lima tahun terakhir, mencecah AS$7.1 bilion (RM33 bilion) pada 2024.
India kini berdepan cabaran menyeimbangkan emosi rakyat dengan realiti diplomasi antarabangsa dalam masa yang sama menegaskan pendiriannya terhadap sebarang bentuk sokongan terhadap keganasan. -AGENSI










