Iktiraf dahulu Palestin baru boleh bincang diplomatik dengan Israel - Prabowo - Utusan Malaysia

Iktiraf dahulu Palestin baru boleh bincang diplomatik dengan Israel – Prabowo

PRABOWO SUBIANTO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto mendesak Israel mengiktiraf kedaulatan Palestin sebagai sebuah negara dan menyatakan langkah tersebut akan membuka jalan Indonesia menjalin hubungan diplomatik rasmi dengan Israel.

Beliau menegaskan sokongan berterusan Indonesia terhadap penyelesaian dua negara dalam konflik Palestin-Israel.

“Indonesia telah menyatakan sebaik sahaja negara Palestin diiktiraf oleh Israel, kami bersedia mengiktiraf Israel dan membuka hubungan diplomatik.

“Kami juga bersedia menyumbangkan pasukan pengaman ke kawasan tersebut,” katanya menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Presiden.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron di Istana Merdeka, Jakarta Pusat semalam.

Macron berada di sini sempena lawatan selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Prabowo sudah menggunakan pelbagai forum antarabangsa untuk menyuarakan pandangan Indonesia bahawa penyelesaian dua negara merupakan satu-satunya jalan ke arah perdamaian berkekalan di Asia Barat.

Sementara itu, Prabowo merakamkan penghargaan terhadap peranan aktif Perancis dalam memperjuangkan keadilan dan kemerdekaan untuk rakyat Palestin, seriring visi Indonesia dalam mendesak keganasan dihentikan dan akses kemanusiaan di Gaza diperluaskan.

Pendekatan Indonesia terhadap penyelesaian konflik Palestin-Israel sejajar dengan amanat Undang-Undang Dasar Negara Republik Indonesia Tahun 1945 yang menekankan komitmen untuk menyumbang kepada keamanan dunia yang berasaskan kemerdekaan, keamanan berkekalan dan keadilan sosial, menurut kenyataan itu.

Media melaporkan Perancis dan Arab Saudi akan mempengerusikan secara bersama “Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi bagi Penyelesaian Secara Aman Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara” di di New York bulan depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN