SALDANHA: Seorang wanita dan kekasihnya dipenjara seumur hidup selepas bersalah kerana menculik anak sendiri dan cuba menjual organ badannya.
Racquel Kelly Smith bersama pasangannya, Jacquen Appollis dikenakan hukuman itu selepas perbicaraan berlangsung enam minggu.
Mahkamah menyatakan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu, Joshlin Smith dijual kepada pengamal perubatan alternatif bagi mendapatkan kulit dan matanya.
Sejumlah testimoni mendedahkan Smith merancang menjual anaknya pada harga 850 pound (RM4,849) dan berhasrat menyerahkan kanak-kanak itu kepada pawang yang mahukan organ untuk ritual.
Smith sebelum ini memperoleh simpati masyarakat selepas mendakwa anaknya hilang.
Wanita itu memberitahu polis dia meninggalkan anaknya dengan kekasihnya pada hari kanak-kanak itu hilang dan sehingga kini masih tidak diketahui keberadaannya.
Pasangan itu kemudiannya ditahan polis dan dibicarakan.
Hakim menyatakan reaksi Smith tidak seperti ibu lain yang kehilangan anak.
Keputusan penjara seumur hidup terhadap pasangan itu disambut gembira oleh penduduk tempatan yang menyifatkannya sebagai hukuman paling adil.
Orang ramai yang mengikuti perbicaraan itu turut bersorak dan menitiskan air mata.
Selepas keputusan dibacakan hakim, ibu Smith merayu kepada anaknya supaya memberitahu di mana Joshlin ketika ini, dan bertanya adakah kanak-kanak itu masih hidup atau tidak.










