Hong Kong cadang tawaran universiti kepada pelajar asing dari Harvard

Hong Kong cadang tawaran universiti kepada pelajar asing dari Harvard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Hong Kong me­ngumumkan rancangan tawaran kemasukan universiti kepada lebih ramai pelajar antarabangsa terutamanya mereka yang terkesan akibat tindakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang menghalang Universiti Harvard daripada menerima pelajar warganegara asing.

Langkah drastik oleh pentadbiran Presiden AS, Do­nald Trump yang menjejaskan ribuan pelajar asing dan sumber pendapatan utama institusi pengajian tinggi itu diambil di tengah-tengah ketegangan yang berlarutan antara Washington dan Beijing termasuk dalam isu perdagangan.

Bagaimanapun, keputusan itu digantung sementara oleh seorang hakim persekutuan AS pada Jumaat selepas Harvard memfailkan saman, dengan mendakwa tindakan kerajaan sebagai tidak sah.

Susulan itu, Setiausaha Pendidikan Hong Kong, Christine Choi menyeru semua universiti di wilayah itu supaya menerima pelajar cemerlang dari seluruh dunia.

“Bagi pelajar antarabangsa yang terkesan oleh dasar kemasukan pelajar AS, Biro Pendidikan (EDB) telah menggesa semua universiti di Hong Kong supaya menyediakan langkah kemudahan untuk pelajar yang layak,” katanya dalam satu kenyataan.

Christine berkata, universiti tempatan kini memanfaatkan langkah kerajaan seperti pelonggaran had maksimum pelajar asing untuk menarik le­bih ramai ke Hong Kong.

Pada Jumaat, Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong (HKUST) secara rasmi menjemput pelajar antarabangsa yang menuntut di Harvard atau yang menerima tawaran ke universiti elit itu untuk menyambung pe­ngajian mereka di HKUST.

Universiti tersebut juga menawarkan kemasukan tanpa syarat, prosedur permohonan yang mudah serta sokongan akademik bagi memastikan peralihan yang lancar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN