NEW DELHI: Hipertensi atau tekanan darah tinggi kini menjejaskan lebih 294 juta penduduk di rantau Asia Tenggara dan Asia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat.
“Hipertensi kekal sebagai satu cabaran besar dalam kesihatan awam, pembunuh senyap yang menjejaskan lebih 294 juta orang di seluruh rantau Asia Tenggara,” kata Pengarah Serantau WHO Asia Tenggara, Saima Wazed.
Beliau menjelaskan risiko tabiat yang boleh diubah suai seperti penggunaan tembakau dan alkohol, pengambilan garam yang tinggi, kurang bersenam, amalan pemakanan tidak sihat serta tekanan mental terus menyumbang kepada peningkatan kes hipertensi.
Wazed berkata, hipertensi masih menjadi penyumbang utama kepada kematian pramatang akibat serangan jantung dan angin ahmar di rantau ini.
Di India sahaja, lebih 220 juta orang mengalami hipertensi dengan hampir satu daripada tiga orang dewasa terjejas.
Lebih membimbangkan, menurut Wazed keperluan rawatan yang tidak dipenuhi iaitu jurang antara jumlah penghidap tekanan darah tinggi dengan mereka yang benar-benar didiagnosis, dirawat dan dikawal dengan berkesan mencecah sehingga 88 peratus.
“Ini bermakna sembilan daripada 10 individu dengan hipertensi tidak menerima rawatan optimum,” katanya.
Beliau menyeru inisiatif kesihatan awam diperkasakan termasuk galakan kepada pemakanan sihat, aktiviti fizikal, kawalan tembakau dan alkohol serta pengurangan pengambilan garam dan lemak trans.
Wazed turut menekankan keperluan memperkukuh kerjasama program kesihatan seperti kesihatan ibu dan anak, mental dan perkhidmatan penyakit berjangkit dalam usaha menangani hipertensi dan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang berkaitan.
“Dengan iltizam politik, penglibatan komuniti dan pendekatan inovatif, kita mampu mengurangkan beban hipertensi dan mencapai sasaran global untuk mengurangkan kematian pramatang akibat NCD sebanyak satu per tiga menjelang 2030,” katanya.