KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan bersama kepimpinan Thailand dan Kemboja berhubung perkembangan terkini di sempadan kedua-dua negara itu.
Perdana Menteri berkata, perbincangan tersebut dilakukan bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet semalam.
“Saya dah bincang semalam. Saya dah bincang dengan Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja berhubung perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media berhubung kemungkinan Malaysia akan menghulurkan bantuan selepas menghadiri Majlis Perasmian Global Halal Summit (GHaS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri Kemboja meminta Malaysia selaku Pengerusi ASEAN supaya mendesak Bangkok agar tidak menggunakan kekerasan terhadap orang awam dan menghentikan rancangan pengusiran paksa.
Tentera Thailand dikatakan bertindak menghalang akses itu selepas ia menuduh kumpulan orang awam tersebut ‘menceroboh’ wilayah negara berkenaan.
Rabu lalu, tembakan peluru getah dan pemedih mata dilepaskan ke arah ratusan penunjuk perasaan yang terlibat bantahan di perkampungan sempadan yang didakwa turut mencederakan hampir 30 orang.-UTUSAN











