Hakim AS halang penggunaan Akta Musuh Asing usir warga Venezuela - Utusan Malaysia

Hakim AS halang penggunaan Akta Musuh Asing usir warga Venezuela

SEORANG penyokong hak pendatang memegang plakad bertulis 'Immigrants Make America Great' sebelum berarak ke pusat bandar semasa 'Perarakan untuk Maruah' di Los Angeles, pada 1 Mac lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang dilantik oleh Donald Trump memutuskan Presiden negara ini tidak boleh menggunakan Akta Musuh Asing (AEA) untuk mengusir pendatang Venezuela, sekali gus menyifatkan penggunaan kuasa zaman perang itu sebagai ‘tidak sah’.

Hakim Daerah AS, Fernando Rodriguez, menyatakan tindakan Trump menggunakan undang-undang yang digubal pada tahun 1798 yang membenarkan pengusiran warga asing semasa perang atau pencerobohan itu adalah tidak sesuai dan menyimpang daripada tujuan asalnya.

Trump menggunakannya untuk menghantar warga Venezuela ke El Salvador dengan alasan mereka anggota kumpulan geng Tren de Aragua dan terlibat dalam ‘perang tidak konvensional’.

Hakim itu berkata, akta tersebut hanya terpakai apabila AS berdepan ‘serangan bersenjata terancang’ yang tidak berlaku sekarang. Pentadbiran Trump bagaimanapun belum memberi sebarang ulasan.

Pada Mac lalu, Trump mengeluarkan satu proklamasi yang mendakwa Tren de Aragua ‘menceroboh’ AS, lalu menggunakan kuasa khas untuk menghantar pulang pendatang yang disyaki ahli geng tanpa melalui proses mahkamah.

Beliau telah menggunakan akta itu untuk menghantar dua pesawat yang membawa warga Venezuela yang dituduh sebagai anggota geng ke penjara keganasan di El Salvador, dikenali sebagai Cecot. Namun, tiada maklumat terperinci diberikan oleh kerajaan AS atau El Salvador mengenai jenayah atau kaitan sebenar individu itu dengan kumpulan jenayah.

Keputusan ini merupakan kali pertama seorang hakim persekutuan menyatakan penggunaan akta tersebut sebagai tidak sah.

“Rekod sejarah menunjukkan dengan jelas bahawa penggunaan AEA oleh presiden bercanggah dengan makna sebenar terma undang-undang.

“Oleh itu, mahkamah menyimpulkan bahawa pihak eksekutif tidak boleh bergantung pada AEA untuk menahan atau mengusir pemohon yang dinamakan dalam kes ini,” tulis hakim itu sambil menolak hujah pentadbiran Trump bahawa penggunaan akta tersebut berada di luar bidang kuasa mahkamah.

“Jika presiden dibenarkan mentafsir sendiri bila beliau boleh mengaktifkan AEA, dan secara sepihak mengisytiharkan bahawa keadaan tersebut wujud, maka ini akan menghapuskan segala bentuk kawalan terhadap kuasa eksekutif,” katanya.

Beliau menambah, tindakan sedemikian akan menghilangkan peranan tradisional mahkamah dalam mentafsir undang-undang Kongres.

AEA hanya digunakan tiga kali sebelum ini dalam sejarah AS iaitu semasa Perang Dunia Kedua, Perang Dunia Pertama, dan Perang 1812.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya