Finland bersiap sedia diserang Russia - Utusan Malaysia

Finland bersiap sedia diserang Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HELSINKI: Finland memantau teliti pergerakan Russia di sempadan dan bersedia menghadapi kemungkinan paling buruk, termasuk diserang negara itu, menurut Ketua Strategi Angkatan Pertahanan Finland, Mejar Jeneral Sami Nurmi.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan Russia akan terus menambah tenteranya di sepanjang sempadan selepas perang di Ukraine tamat susulan laporan Moscow memperkukuh pangkalan tenteranya berhampiran sempadan Pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Pada Rabu, Pengawal Sempadan Finland mengumumkan mereka sudah menyiapkan 35 kilometer (km) pertama daripada pagar sepanjang 200km yang dirancang di sempadan timur dengan Russia.

Sempadan itu ditutup lebih setahun selepas Helsinki menuduh Moscow menggunakan pelarian sebagai alat dalam ‘operasi hibrid’. Pagar keselamatan itu turut dilengkapi kamera dan pengesan untuk membezakan antara manusia dan haiwan yang melintas.

Imej satelit yang diterbitkan oleh New York Times menunjukkan pengembangan infrastruktur ketenteraan berhampiran sempadan Finland, termasuk deretan khemah, kenderaan tentera, baik pulih tempat perlindungan jet pejuang serta kerja pembinaan di pangkalan helikopter yang sebelum ini tidak digunakan.

“Mereka sedang mengubah struktur dan kami melihat persiapan sederhana dalam pembinaan infrastruktur berhampiran sempadan kami, yang bermakna apabila perang di Ukraine berakhir, mereka akan mula mengembalikan tentera darat yang kini berada di Ukraine,” kata Nurmi.

Walaupun perkembangan ini tidak mengejutkan selepas Finland menyertai NATO pada 2023 susulan pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine, Nurmi menegaskan pihaknya memantau perkembangan ini dengan rapi.

“Mereka melakukannya secara berperingkat. Saya katakan bilangannya masih sederhana, bukan pembinaan berskala besar tetapi di lokasi tertentu mereka sedang membina infrastruktur baharu dan membawa masuk kelengkapan.

“Perlu juga dinilai sama ada mereka sedang bersiap menghantar lebih ramai tentera ke Ukraine atau membina semula kekuatan di sempadan kami. Saya percaya mereka sedang lakukan kedua-duanya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×