BANGKOK: Tentera Thailand dan Kemboja bersetuju mengundurkan anggota tentera masing-masing dari kawasan pertikaian di sepanjang sempadan kedua-dua negara itu.
Keputusan itu dibuat sehari selepas anggota kedua-dua negara saling berbalas tembakan.
Menerusi kenyataan, Tentera Diraja Thailand (RTA) memaklumkan kedua-dua negara bersetuju menggunakan Jawatankuasa Bersama Sempadan (JBC), satu mekanisme di peringkat kerajaan untuk mempercepatkan penyelesaian isu berkenaan.
“Mesyuarat JBC dijangka mencapai kata putus dalam masa dua minggu dan dalam tempoh berkenaan, anggota tentera dari Thailand dan Kemboja akan berundur dari kawasan pertikaian, sekali gus meredakan ketegangan,” kata RTA.
Pada Rabu lalu, tentera kedua-dua negara saling berbalas tembakan di wilayah Ubon Ratchathani di timur laut Thailand dan wilayah Preah Viher di utara Kemboja.
Thailand mendakwa tentera Kemboja menceroboh kawasan pertikaian, melanggar perjanjian dan melepaskan tembakan ke arah tenteranya apabila didekati, mendorong tentera Thailand menembak balas.
Insiden itu menyebabkan seorang anggota tentera Kemboja terbunuh.
RTA mengesahkan kedua-dua negara bersetuju menggunakan Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) untuk menangani isu yang belum selesai.
RTA memaklumkan mereka akan terus memantau situasi di sempadan dan sentiasa memastikan ketenteraman.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet mengenai langkah untuk meredakan ketegangan di sempadan.










