GENEVA: Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) memberi amaran usaha bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza hampir lumpuh sepenuhnya.
Perang yang berlarutan lebih 18 bulan dan sekatan bantuan kemanusiaan selama dua bulan oleh tentera Israel menjadikan keadaan di Gaza terus merosot.
“Tanpa penyambungan segera penghantaran bantuan, ICRC tiada akses kepada bekalan makanan, ubatan dan keperluan kritikal lain yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza,” menurut kenyataan ICRC.
Timbalan Pengarah Operasi ICRC, Pascal Hundt berkata, penduduk Gaza berjuang dengan penuh keperitan untuk meneruskan kehidupan setiap hari.
“Mereka sentiasa dalam bahaya akibat serangan tidak menentu tentera Israel, terpaksa berpindah dan berdepan kebuluran akibat kekurangan bekalan makanan.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan. Dunia tahu Gaza sedang menderita, terseksa, tapi apa yang dunia lakukan?,” katanya sambal menggesa pihak berwajib dan komuniti antarabangsa bertindak segera.
ICRC menegaskan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, ‘Israel mempunyai kewajipan untuk menggunakan segala cara yang ada bagi memastikan keperluan asas penduduk awam di bawah kawalannya dipenuhi’.
“Jika sekatan berterusan, program seperti dapur bersama ICRC yang menyediakan satu-satunya hidangan harian buat orang awam hanya mampu beroperasi untuk beberapa hari lagi,” menurut kenyataan itu.
ICRC memaklumkan hospital medan yang dikendalikannya di Gaza kini semakin kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan, malah beberapa jenis ubat dan barang guna habis telah kehabisan.
Keadaan kritikal itu bertambah buruk akibat serangan berulang yang menjejaskan operasi kemudahan dan petugas kesihatan, kata ICRC.
“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa jelas menyatakan petugas dan kemudahan perubatan mesti dihormati dan dilindungi dalam semua keadaan.
“Bantuan mesti dibenarkan masuk ke Gaza. Tahanan mesti dibebaskan. Orang awam mesti dilindungi,” katanya.











