RIO DE JANEIRO: Pendakwa raya Brazil menyaman syarikat gergasi kereta elektrik China, BYD dan dua syarikat kontrak kerana pemerdagangan manusia dan amalan perhambaan di sebuah tapak binaan.
Berdasarkan dokumen undang-undang yang dilihat oleh AFP, kes itu membabitkan 220 pekerja China yang ditemui Disember lalu dalam keadaan seperti hamba di sebuah kilang BYD dalam pembinaan di Camacari, di negeri timur laut Bahia.
Menurut Kementerian Kerja Raya Wilayah Bahia (MPT), pemeriksaan mendapati pekerja ditempatkan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan termasuk tidur tanpa tilam dan dalam satu kes, 31 individu terpaksa berkongsi sebuah bilik mandi.
Pekerja turut mengalami penyakit kulit yang teruk akibat bekerja berjam-jam di bawah terik matahari.
MPT berkata, pihaknya mengesyaki berlaku isu ‘kerja paksa’ termasuk kontrak yang mengandungi klausa tidak sah, pasport pekerja dirampas dan majikan menahan sehingga 70 peratus daripada gaji mereka.
Lebih membimbangkan, pekerja juga diawasi oleh pengawal bersenjata.
Selepas dakwaan itu didedahkan kepada umum, anak syarikat BYD di Brazil memaklumkan sudah menamatkan kontrak dengan syarikat pembinaan Jinjiang yang bertanggungjawab ke atas projek itu.
Bagaimanapun, Jinjiang menafikan dakwaan berlaku buruh paksa itu.
MPT kini menuntut pampasan sebanyak sekitar AS$45.3 juta (RM191.48 juta) atas ‘kerosakan moral kolektif’, selain bayaran individu kepada setiap pekerja yang terbabit.
Tindakan undang-undang itu difailkan selepas BYD, Jinjiang dan Tonghe Intelligent Equipment (kini dikenali sebagai Tecmonta) enggan menandatangani perjanjian penyesuaian tingkah laku yang dicadangkan oleh pihak berkuasa Brazil.










