SANTIAGO: Dua syarikat gergasi China iaitu pengeluar automotif BYD dan kumpulan logam Tsingshan telah membatalkan rancangan pelaburan bernilai jutaan dolar untuk membina loji katod litium di Chile, menurut agensi pembangunan ekonomi negara itu pada Rabu.
Langkah penarikan diri ini merupakan tamparan hebat kepada usaha Chile untuk meningkatkan pemprosesan domestik litium, logam penting dalam pembuatan bateri kenderaan elektrik.
Chile kini merupakan pengeluar litium kedua terbesar di dunia.
Menurut agensi pembangunan ekonomi kerajaan, Corfo, kedua-dua projek berkenaan terjejas akibat kejatuhan mendadak harga litium di pasaran global.
Pada 2023, Corfo telah memilih BYD dan Tsingshan untuk menerima harga litium istimewa sebagai galakan pelaburan dalam negara.
“Keputusan pelaburan syarikat-syarikat yang dipilih oleh Corfo telah dipengaruhi oleh keadaan pasaran global yang menyaksikan penurunan harga secara mendadak,” kata Corfo dalam satu kenyataan.
Tsingshan memaklumkan kepada Reuters bahawa mereka menarik diri daripada projek bernilai AS$233 juta (RM994 juta) untuk menghasilkan 120,000 tan metrik litium ferum fosfat (LFP).
Kementerian Aset Negara Chile turut mengesahkan bahawa BYD telah mengemukakan hasrat untuk menarik diri pada Januari lalu. BYD, pengeluar kereta elektrik terbesar dunia bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.
Tahun lalu, syarikat itu telah mengumumkan kelewatan bagi projek loji bernilai AS$290 juta (RM1.2 bilion) yang dijangka menghasilkan 50,000 tan LFP setahun untuk katod.
Akhbar kewangan Chile, Diario Financiero adalah yang pertama melaporkan penamatan pelaburan tersebut.
Usaha terdahulu Chile pada 2018 untuk menarik pelaburan berkaitan litium menerusi perjanjian harga istimewa turut gagal.
Syarikat kimia Chile Molymet, Sichuan Fulin Transportation Group dari China, serta usaha sama antara Posco dan Samsung dari Korea Selatan masing-masing menarik diri atas pelbagai sebab.
Tsingshan dan BYD sebelum ini dijanjikan akses kepada harga istimewa litium yang dikeluarkan oleh syarikat perlombongan Chile, SQM sehingga 2030, satu tempoh yang menurut Corfo turut menjadi faktor kepada keputusan penarikan diri.
Corfo turut mendedahkan bahawa Tsingshan bercadang menyerahkan pembangunan projek kepada unit syarikat yang tidak terlibat dalam proses bidaan yang menurut Corfo adalah tidak dibenarkan.
Minggu lalu, Corfo membuka pusingan kedua proses bidaan bagi skim yang serupa dengan kali ini melibatkan syarikat pengeluar litium dari Amerika Syarikat, Albemarle dengan perjanjian pembelian sehingga 2043 bagi syarikat yang komited kepada projek berkaitan litium.
Menurut Corfo, Albemarle dan pelabur terpilih dibenarkan menggunakan kaedah alternatif dalam menetapkan perjanjian harga. – REUTERS