BANGKOK: Seorang lelaki Thailand bertindak mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan seorang budak lelaki berusia empat tahun selepas melihat kanak-kanak itu merokok dan bermain bersendirian di bawah Jambatan Rama VIII di Bangkok.
Lelaki berkenaan berkongsi video kejadian itu di akaun Facebook miliknya pada Selasa dengan harapan agar agensi kerajaan berkaitan tampil memberikan bantuan dan memastikan kanak-kanak tersebut hidup dalam keadaan yang lebih selamat.
“Saya melawat Jambatan Rama VIII dan ternampak budak ini sedang merokok. Jika dia sudah sedikit dewasa, saya mungkin tidak akan campur tangan kerana saya sendiri pernah melalui pengalaman yang sama ketika kecil.
“Saya lihat ibu bapa saya merokok dan saya ikut perbuatan itu. Budak ini baru berusia sekitar empat atau lima tahun,” tulisnya dalam kapsyen video tersebut.
Dalam video tersebut, kanak-kanak itu dilihat memegang rokok di tangan kanan dan menghembus asap sambil tersenyum lebar kepada si perakam.
“Buang rokok tu. Tinggalkannya, jangan merokok lagi, ya. Bagi pada saya, saya nak beritahu ayah kamu,” kata lelaki itu kepadanya.
Dia kemudian mengambil rokok daripada budak itu dan mematikannya.
Kamera kemudian menghala ke arah ibu bapa budak itu yang kelihatan tinggal dalam tempat perlindungan sementara di bawah Jambatan Rama VIII, menunjukkan mereka mungkin gelandangan.
Personaliti media sosial, Guntouch ‘Gun’ Pongpaiboonwet kemudian berkongsi video itu di laman Facebook selepas menerima kiriman daripada pengikutnya sebelum mengarahkan pasukannya untuk mengesan lokasi budak lelaki tersebut dan keluarganya.
Pasukan Gun berjaya menemui ibu bapa budak itu pada hari yang sama.
Menurut ibunya, sekumpulan remaja dipercayai telah memberikan rokok itu kepada anaknya.
Dia turut menjelaskan, suaminya mengalami tekanan kewangan serta masalah kesihatan yang menyebabkan dia tidak mampu bekerja.
Wanita itu menjadi satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga tetapi pendapatannya tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka.
Setelah gagal membayar sewa, keluarga itu terpaksa berpindah dan tinggal di bawah jambatan.
Kanak-kanak tersebut kini ditempatkan di pusat perlindungan di bawah jagaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia sehingga ibu bapanya dapat menyediakan persekitaran hidup yang lebih sesuai untuknya.-AGENSI










