GAZA: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza susulan kehabisan sepenuhnya stok suplemen pencegahan malnutrisi serta sekatan berterusan terhadap kemasukan bantuan oleh Israel.
Jurucakap PBB, Stephanie Tremblay berkata, keadaan di Gaza semakin memburuk dari hari ke hari sambil memetik laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
“Rakan-rakan kami yang bertugas dalam pencegahan malnutrisi memaklumkan bahawa tiada lagi stok suplemen pencegahan malnutrisi yang tinggal di Gaza,” katanya.
Menurut beliau, walaupun masih terdapat sedikit stok rawatan malnutrisi, bekalan itu juga akan habis dalam masa terdekat jika sempadan tidak dibuka semula untuk kemasukan barangan bantuan.
Tremblay turut melaporkan serangan tentera Israel ke atas sekolah yang dijadikan tempat perlindungan penduduk yang dipindahkan.
Analisis imej satelit menunjukkan lebih 95 peratus bangunan sekolah di Gaza telah mengalami kerosakan.
Satu laporan baharu oleh rakan kerjasama PBB mendapati bahawa pada bulan lalu, 90 peratus keluarga yang ditemu bual menghadapi kekurangan bekalan air bersih, memaksa mereka membuat pilihan sukar antara keperluan asas seperti memasak dan membasuh tangan.
Tremblay menegaskan bahawa PBB sedia menyalurkan bantuan serta-merta sekiranya Israel membenarkan akses, sambil menyatakan lebih 240,000 tan metrik bekalan kini tersedia di gudang luar Gaza untuk dihantar.
“Hari ini, Israel menolak tiga perempat daripada permintaan PBB, enam daripada lapan permohonan,” katanya.
Beliau berkata, separuh daripada permintaan yang ditolak itu adalah untuk mengambil bekalan penting dari kawasan yang dikuasai tentera.