KAHERAH: Bantuan kemanusiaan pertama disalurkan ke Gaza selepas hampir tiga bulan sekatan Israel.
Sebanyak 87 lori membawa tepung, makanan dan bekalan perubatan memasuki kawasan itu sepanjang malam, kata Naib Presiden Persatuan Penghantara Kargo Persendirian Gaza, Jihad Islim.
Konvoi itu menuju ke kawasan Deir al-Balah dan Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, katanya.
Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengesahkan ketibaan kira-kira 90 buah lori dan kandungan muatan bantuan berkenaan.
Beberapa pemilik kedai roti dan saksi memaklumkan sesetengah kedai roti di kawasan terbabit mula membakar roti menggunakan tepung yang diterima sejak awal pagi dan mengedarkannya kepada penduduk.
Bagaimanapun, petugas bantuan tempatan dan antarabangsa menegaskan bahawa jumlah bekalan yang tiba setakat ini hanyalah sebahagian kecil dan jauh daripada mencukupi.
Menurut maklumat terdahulu PBB, kira-kira 500 penghantaran bekalan diperlukan setiap hari bagi menampung keperluan kira-kira dua juta penduduk Palestin di Gaza.
Pengarah Rangkaian NGO Palestin di Gaza, Amjad Shawa berkata tiada bantuan yang telah sampai ke utara Gaza, kawasan yang paling terjejas dan sangat memerlukan bantuan.
Beliau berkata, trak yang tiba hanyalah sebahagian kecil daripada keperluan asas yang amat diperlukan.
Israel memberi alasan bahawa sekatan bertujuan menghalang kumpulan Palestin, Hamas daripada mencuri bekalan bantuan dan menjualnya di pasaran gelap bagi membiayai pejuang dan senjata.










