AS usir dua pendatang Asia ke Sudan Selatan

AS usir dua pendatang Asia ke Sudan Selatan

PESAWAT Boeing C-17 milik Tentera Udara AS yang digunakan untuk tujuan pengusiran pendatang mendarat di pangkalan Fort Bliss, Texas.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa mengusir dua lelaki Asia secara tidak sah ke Sudan Selatan, menurut kenyataan sekumpulan peguam imigresen dalam satu permohonan mahkamah di Boston.

Peguam daripada Perikatan Litigasi Imigresen Kebangsaan memaklumkan kepada hakim Mahkamah Persekutuan, sebuah pesawat membawa lebih 12 individu termasuk warganegara Myanmar dan Vietnam mendarat di Sudan Selatan pada Selasa lalu.

Perbuatan itu dikatakan melanggar perintah mahkamah sebelum ini yang melarang kerajaan AS daripada menghantar pendatang ke negara ketiga tanpa memberi mereka peluang yang untuk mencabar pemindahan tersebut.

Kes melibatkan lelaki Myanmar itu mendapat perhatian selepas peguamnya mendakwa anak guamnya yang tidak fasih berbahasa Inggeris itu enggan menandatangani notis pemindahan yang dikeluarkan pihak berkuasa di pusat tahanan imigresen di Texas.

Menurut dokumen mahkamah, peguam terbabit menghantar emel kepada pusat tersebut selepas menyedari anak guamnya tidak lagi tersenarai dalam sistem penjejak tahanan milik Perkhidmatan Imigresen dan Kastam AS (ICE). 

Balasan emel kemudian mengesahkan lelaki itu telah dihantar pulang bukan ke Myanmar, tetapi ke Sudan Selatan.

Seorang lagi lelaki warga Vietnam turut dipercayai mengalami nasib serupa dan berada dalam penerbangan yang sama ke Sudan Selatan, menurut peguam yang mewakilinya.

Agensi berita Reuters melaporkan, isteri kepada lelaki Vietnam tersebut memaklumkan kepada peguam suaminya, kira-kira 10 individu lain yang berada dalam penerbangan tersebut dipercayai merupakan warga Laos, Thailand, Pakistan dan Mexico.

Kerajaan AS sebelum ini mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya agar tidak melakukan perjalanan ke Sudan Selatan kerana jenayah, penculikan dan konflik bersenjata yang berleluasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN