WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengesahkan satu sistem baharu sedang disediakan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui syarikat swasta, ketika sekatan oleh Israel memasuki bulan ketiga.
Duta AS ke Israel, Mike Huckabee berkata, pusat pengagihan yang dikawal oleh kontraktor keselamatan swasta akan menyediakan makanan dan keperluan lain kepada lebih sejuta orang pada peringkat awal dan langkah ini bertujuan untuk menghalang kumpulan Hamas daripada merampas bantuan.
Huckabee menegaskan, Israel tidak akan terlibat dalam proses penghantaran atau pengagihan bantuan, tetapi tenteranya akan mengawal perimeter pusat bantuan tersebut.
Namun beliau tidak memberikan sebarang jadual pelaksanaan atau butiran lanjut mengenai yayasan bukan kerajaan yang akan mengetuai operasi tersebut sebaliknya hanya menyebut beberapa rakan kongsi sudah bersetuju untuk turut serta.
Inisiatif yang diterajui AS ini menerima kritikan antarabangsa kerana dikatakan mengenepikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan sedia ada, serta menggugat struktur bantuan kemanusiaan yang sedia beroperasi di Gaza.
Jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), Jens Laerke berkata, agensinya tidak akan mengambil bahagian dalam rancangan itu kerana dilihat cuba menjadikan bantuan sebagai ‘senjata’.
“Kami tidak akan terlibat. Kami hanya menyertai usaha yang selaras dengan prinsip kemanusiaan sejagat. Tiada keperluan untuk mewujudkan sistem yang bertentangan dengan asas mana-mana organisasi kemanusiaan yang berprinsip,” kata Laerke kepada BBC di Geneva.
Sejak awal Mac, Israel bertindak memutuskan semua laluan bekalan ke Gaza termasuk makanan, ubat-ubatan, bahan api dan tempat perlindungan, menyebabkan krisis kemanusiaan makin buruk bagi 2.1 juta penduduk wilayah itu.
Menurut OCHA, satu pertiga daripada dapur komuniti di Gaza yang menjadi talian hayat terakhir wilayah itu terpaksa ditutup sejak dua minggu lalu kerana kekurangan bekalan makanan dan bahan api.
Antaranya termasuk dua dapur lapangan terakhir milik World Central Kitchen, badan amal berpangkalan di AS yang sebelum ini menyediakan 133,000 hidangan setiap hari sebelum kehabisan bahan mentah pada Selasa lalu.
Harga bahan makanan asas juga melambung tinggi dengan sekampit tepung seberat 25 kilogram kini dijual pada harga AS$415 (RM1,950) di Gaza City, meningkat 30 kali ganda berbanding akhir Februari.
Di Khan Younis, ratusan rakyat Palestin yang berkumpul sambil mengangkat periuk, mangkuk plastik dan bekas makanan menangis dan menjerit selepas pusat pengagihan ditutup kerana kehabisan bekalan.
“Apabila anak-anak kami kata mereka lapar, apa kami boleh buat? Tiada tepung, tiada roti, tiada makanan, tiada apa-apa. Ada kalanya kami tunggu lama di sini, tapi akhirnya pulang tanpa makanan atau air,” kata seorang penduduk tempatan, Ilham Jargon, kepada AFP.