WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan kerajaan akan membiayai kos perjalanan serta bayaran sebanyak AS$1,000 (RM4,425) kepada pendatang asing tanpa dokumen jika mereka pulang ke negara asal secara sukarela.
Trump berkata, sebahagian daripada mereka yang menyertai skim ini mungkin diberi peluang untuk kembali ke AS secara sah pada masa hadapan.
“Kita akan membayar sejumlah wang kepada setiap individu, dan menyediakan penerbangan yang selesa untuk mereka pulang ke tempat asal.
“Kita akan bekerjasama dengan mereka supaya mungkin suatu hari, mereka boleh kembali. Ini memberi mereka laluan untuk kembali secara sah,” katanya di Rumah Putih.
Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem mengumumkan bantuan perjalanan serta bayaran AS$1,000 itu bertujuan menggalakkan pemulangan kendiri sebagai kaedah paling selamat dan menjimatkan kos untuk meninggalkan AS tanpa ditahan pihak berkuasa negara ini.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) memaklumkan mereka menawarkan bantuan kewangan dan insentif kepada pendatang tanpa izin untuk pulang k negara asal melalui aplikasi mudah alih khas, CBP Home yang dibangunkan untuk tujuan tersebut.
Bayaran AS$1,000 hanya akan dibuat selepas kepulangan ke negara asal disahkan melalui aplikasi tersebut.
“Pemulangan secara sukarela ialah satu kaedah yang bermaruah untuk meninggalkan AS dan membolehkan pendatang tanpa izin mengelak daripada ditahan oleh Imigresen dan Kastam AS,” menurut kenyataan DHS.
Jabatan itu memaklumkan, seorang pendatang tanpa izin dari Honduras menjadi individu pertama yang menggunakan program tersebut untuk pulang ke negara asalnya.– AGENSI