‘Amukan’ singa laut ancam pengunjung Pantai California

‘Amukan’ singa laut ancam pengunjung Pantai California

SEEKOR singa laut yang mengalami keracunan asid domoik diselamatkan oleh para sukarelawan di Santa Barbara, California.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sepanjang hampir 110 kilometer kawasan pesisir pantai California Selatan, singa laut yang biasanya bersifat jinak kini bertukar agresif dan menyerang manusia yang berada berhampirannya. 

Pakar menjelaskan, tingkah laku luar biasa ini berpunca daripada keracunan toksin laut akibat pencemaran yang semakin buruk dengan banyak haiwan ini sedang sakit dan hampir mati.

Pada 30 Mac lalu, seorang remaja berusia 15 tahun, Pheobe Beltran, diserang seekor singa laut ketika berenang di Long Beach semasa ujian pemilihan sebagai penyelamat pantai remaja.

“Saya sangat takut dan terkejut. Sehingga kini, saya masih terasa sakit yang amat sangat pada lengan saya berulang kali,” kata Beltran kepada saluran tempatan KCAL

Lengan Beltran dipenuhi gigitan, lebam dan calar, namun luka itu tidak memerlukan jahitan.

Beberapa hari sebelumnya, pada 21 Mac, seorang peluncur di Ventura County, RJ La Mendola, turut diserang seekor singa laut di perairan terbuka berhampiran Oxnard. 

Dalam catatan media sosial, beliau menggambarkan pengalaman itu sangat menakutkan dan traumatik, menyatakan singa laut itu meluru keluar dari air dengan ekspresi yang ‘liar dan menyeramkan’, tidak seperti tabiat biasa haiwan tersebut.

Pakar percaya punca utama tingkah laku agresif ini adalah disebabkan keracunan asid domoik, sejenis toksin saraf yang dihasilkan oleh alga beracun dalam fenomena yang dikenali sebagai ‘red tide’ atau air pasang merah. 

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penjagaan Mamalia Laut Los Angeles, John Warner, toksin ini mencemari sumber makanan singa laut, menyebabkan mereka mengalami sawan, kesukaran bernafas dan kekeliruan mental.

“Apabila terkena toksin ini, mereka seperti hilang akal, ketakutan, terkeliru malah, tidak tahu di mana mereka berada. Mereka sukar keluar dari air dan ada yang hampir lemas.

“Ketika ini, singa laut boleh mengalami tindak balas panik yang melampau, menyebabkan mereka menyerang atau bertindak agresif jika manusia mendekati mereka tanpa disedari,” katanya.

Toksin asid domoik wujud secara semula jadi di Lautan Pasifik, tetapi proses semula jadi yang dikenali sebagai arus naik apabila angin menolak air laut dalam yang kaya nutrien ke permukaan, mempercepatkan pertumbuhan alga toksik ini. 

Ia memberi kesan kepada seluruh rantaian makanan laut, termasuk ikan, paus, pelikan dan kini juga mamalia marin seperti singa laut dan ikan lumba-lumba.

Bagi merawat haiwan ini, pusat berkenaan membantu menyingkirkan toksin larut air dari tubuh mereka secara berperingkat agar cepat pulih.

“Rawatan awal kepada singa laut yang terjejas termasuk pemberian ubat anti-sawan bagi mengelakkan kerosakan otak kekal, selain pemberian cecair dan nutrisi yang banyak untuk membantu menyingkirkan toksin dari sistem tubuh mereka.

“Kami mulakan dengan menyuap melalui tiub dua kali sehari. Biasanya, haiwan-haiwan ini mampu makan sendiri dalam tempoh sekitar seminggu, tetapi tahun ini proses pemulihan mengambil masa lebih lama daripada biasa.

“Tetapi pusat ini berusaha mempercepatkan proses pemulihan supaya haiwan boleh dilepaskan kembali ke laut secepat mungkin, bukan sahaja demi kesejahteraan, tetapi juga bagi memberi ruang kepada lebih banyak mamalia laut lain yang sakit untuk dirawat,” jelasnya.

Menurut Warner, 80 peratus daripada singa laut yang dirawat tahun ini adalah betina bunting, dan dalam kebanyakan kes, penyelamat terpaksa menggugurkan kandungan haiwan itu untuk memastikan si induk terus hidup.

“Tindakan ini boleh memberi kesan jangka panjang terhadap populasi spesies tersebut, walaupun jumlah keseluruhannya masih tinggi buat masa ini.

Pusat Penjagaan Mamalia Laut biasanya menerima 3,000 hingga 4,000 panggilan setahun, tetapi dalam tempoh lima minggu lalu sahaja, mereka menerima lebih 2,000 panggilan berkaitan haiwan yang sakit dan terdampar.

Kini, anak-anak singa laut, anjing laut dan ikan lumba-lumba juga mula terdampar dalam jumlah tinggi, satu petanda bahaya terhadap kestabilan ekosistem marin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN