KHAN YOUNIS: Pakar pediatrik yang kehilangan sembilan daripada 10 anaknya terus menderita apabila hanya tujuh daripada jenazah mereka dapat dikebumikan.
Dua lagi mayat anaknya dipercayai masih berada di bawah runtuhan rumah dan dihalang oleh beberapa pihak untuk mengeluarkannya susulan situasi tidak selamat.
Sejak awal pagi semalam, tentera Israel terus membedil beberapa kawasan di seluruh Gaza, menyaksikan lebih 80 orang terbunuh.
Keadaan itu menyaksikan Dr Alaa al-Najjar bersama keluarganya masih belum dapat megeluarkan dua mayat anaknya yang tertimbus.
Satu-satunya anak Alaa yang terselamat, iaitu Adam, 10 tahun, masih dirawat di Kompleks Perubatan Nasser.
Namun, pakar bedah yang merawatnya, Dr. Graeme Groom dari Britain berkata, keadaan Adam terlalu serius dan ia mungkin mempengaruhi masa depannya.
Hal ini kerana, Groom berkata, jika Adam terselamat, kanak-kanak itu mungkin mengalami trauma pada bahagian otak, sekali gus boleh menyebabkan masalah mental pada masa akan datang.
“Adam pasti akan mengalami trauma yang kuat susulan insiden yang berlaku terhadap adik-beradiknya.
“Kalau dia pulih sekali pun, kita tidak dapat pastikan dia benar-benar sihat selepas ini, selain kecederaan yang dialaminya juga serius,” kata Groom.
Groom juga menyifatkan penduduk Gaza mempunyai semangat juang yang luar biasa, namun itu tidak bermakna mereka perlu terus berdepan dengan konflik berdarah setiap hari.
“Populasi Gaza mempunyai semangat juang yang tinggi. Namun, mereka tidak mahu dilihat seperti itu, mereka mahu perang dihentikan serta-merta supaya mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, keadaan suami Alaa iaitu Dr Hamdi al-Najjar masih dalam keadaan kritikal dan diletakkan bawah pemantauan tertinggi.










