21 wanita Palestin maut akibat bedilan udara tentera Israel setiap hari - Utusan Malaysia

21 wanita Palestin maut akibat bedilan udara tentera Israel setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Tentera Israel dilaporkan meragut nyawa purata 21.3 wanita Palestin setiap hari melalui serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, menurut laporan yang didedahkan oleh Euro-Mediterranean Human Rights Monitor hari ini.

Kumpulan hak asasi itu menegaskan angka berkenaan bersamaan dengan seorang wanita terbunuh pada setiap jam, tidak termasuk mereka yang maut akibat kepungan, kebuluran, atau kekurangan rawatan perubatan.

“Kadar pembunuhan wanita di Gaza yang amat mengejutkan dan belum pernah berlaku ini mencerminkan corak sistematik pembunuhan besar-besaran yang menyasarkan wanita Palestin secara sengaja, khususnya para ibu,” kata organisasi berpangkalan di Geneva itu.

Menurut pasukan lapangannya, Euro-Med mendedahkan ribuan wanita telah terbunuh, ramai dalam kalangan mereka adalah wanita usia subur, termasuk ibu-ibu yang maut bersama anak-anak mereka sama ada di rumah, khemah pelarian, pusat perlindungan sementara, atau ketika cuba menyelamatkan diri daripada serangan.

“Corak penyasaran harian yang semakin meningkat ini menunjukkan bahawa Israel menjadikan pembunuhan wanita Palestin sebagai alat untuk memusnahkan satu demografi sepenuhnya, sekali gus memenuhi elemen jenayah genosid mengikut undang-undang antarabangsa,” kata laporan tersebut.

Tambah Euro-Med, seramai 60,000 wanita hamil kini berdepan keadaan amat kritikal akibat kekurangan zat makanan, kebuluran, dan layanan kesihatan yang amat terhad akibat daripada sekatan ketat dan larangan kemasukan bantuan oleh Israel sejak awal Mac lalu.

Jelas organisasi tersebut, tindakan Israel itu memenuhi takrif genosid di bawah Artikel 2(d) Konvensyen Genosid 1948, iaitu pengambilan langkah-langkah yang bertujuan mencegah kelahiran dalam kumpulan tertentu.

Antara bentuk pencegahan kelahiran itu termasuklah pembunuhan langsung wanita dalam usia subur, penyasaran ke atas wanita hamil, pemusnahan kemudahan kesihatan berkaitan kelahiran, larangan bekalan ubat-ubatan, kebuluran ke atas ibu dan bayi, serta kekurangan zat makanan yang menyebabkan kematian perlahan dan komplikasi kesihatan serius.

Selain fizikal, wanita Palestin turut mengalami tekanan mental yang amat kompleks kerana mereka bukan sahaja kehilangan anak, suami dan rumah, malah berdepan ketidakupayaan melindungi diri serta keluarga manakala perpindahan berulang kali dan ketiadaan keselamatan menambah parah kepada trauma yang sedia ada.

Sehubungan itu, Euro-Med menyeru negara-negara dunia supaya segera memenuhi tanggungjawab undang-undang masing-masing untuk menghentikan genosid di Gaza, termasuk mengenakan sekatan ekonomi, diplomatik dan ketenteraan terhadap Israel. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN