BRASILIA: Seorang wanita yang menconteng sebuah patung menggunakan gincu semasa rusuhan di ibu negara Brazil tahun lalu dikenakan hukuman penjara selama 14 tahun.
Debora Rodrigues, 29, didapati bersalah kerana terlibat dalam organisasi jenayah yang bertujuan menggulingkan kerajaan serta menghapuskan pemerintahan berlandaskan undang-undang demokrasi.
Rodrigues antara ratusan penyokong bekas Presiden Jair Bolsonaro yang menyerang bangunan kerajaan pada Januari tahun 2023 susulan kekalahan beliau dalam pilihan raya tahun sebelumnya.
Hakim Cristiano Zanin, salah seorang daripada panel lima hakim yang mendengar kes berkenaan, menegaskan Rodrigues tidak dihukum semata-mata kerana perbuatan menconteng patung tersebut, sebaliknya atas pelbagai kesalahan lain.
Namun, ramai rakyat Brazil menganggap hukuman itu terlalu berat manakala penyokong Bolsonaro pula mendakwa keputusan tersebut membuktikan Mahkamah Agung negara itu semakin berkuasa dan berat sebelah.
Rodrigues menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang tindakan keganasan dan hanya bertindak secara spontan.
“Saya hadir ke tunjuk perasaan itu tanpa menyangka ia akan menjadi begitu ganas. Saya tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan jenayah sebelum ini,” katanya.
Peguam bela Rodrigues berhujah anak guam mereka tidak memasuki mana-mana bangunan kerajaan sepanjang rusuhan berlaku, dan perbuatannya adalah kerana emosi ketika itu selain turut melahirkan rasa kesal atas tindakannya.
Kes ini menjadi titik perhimpunan baharu bagi penyokong Bolsonaro, yang mendakwa Rodrigues menjadi mangsa pendakwaan bermotifkan politik.
Pada Februari lalu, sebuah video berkaitan Rodrigues menjadi tular di media sosial, manakala pada Mac, Bolsonaro sendiri memuat naik hantaran di platform X menyeru pengampunan diberikan kepada mereka yang terlibat dalam rusuhan pada tahun 2023.
Bolsonaro kini turut berdepan prosiding jenayah berhubung dakwaan cubaan rampasan kuasa dan berisiko dipenjara lebih 40 tahun jika didapati bersalah. -AGENSI