Saintis rancang ternak ikan siakap di angkasa lepas

Saintis rancang ternak ikan siakap di angkasa lepas

KUMPULAN saintis di Perancis berhasrat membiakkan ikan siakap di angkasa lepas sebagai sumber makanan kepada angkasawan pada masa akan datang. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PALAVAS-LES-FLOTS: Kumpulan saintis giat melakukan penyelidikan bagi membolehkan sejumlah ikan siakap dibawa ke angkasa lepas untuk diternak.

Melalui projek sains yang dinamakan Lunar Hatch, kumpulan penyelidik meneroka kemungkinan membiak dan menternak ikan siakap di bulan dan seterusnya di Marikh sebagai sumber makanan untuk angkasawan pada masa depan.

Idea ini dicetuskan oleh Dr Cyrille Przybyla, pakar biologi marin dari Institut Penyelidikan Lautan Nasional Perancis, yang menganggap projek ini umpama mengasuh ‘anak’ sendiri.

“Ikan adalah sumber protein terbaik kerana mudah dihadam, kaya dengan omega-3 dan vitamin B penting untuk membantu angkasawan mengekalkan jisim otot di angkasa,” katanya.

Menurut Przybyla, idea utamanya ialah menghantar telur ikan ke angkasa lepas untuk menetas sewaktu dalam perjalanan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan pada peringkat awal, binatang tersebut hanya akan diperhatikan sebelum dibekukan dan dibawa pulang ke bumi namun, matlamat jangka panjang ialah membangunkan penternakan haiwan itu di bulan.

Beliau yakin sekiranya agensi-agensi angkasa dunia membina pangkalan kekal di bulan, siakap hasil Lunar Hatch boleh menjadi hidangan tetap sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

Usaha menghantar ikan ke angkasa bukan perkara baharu kerana pada tahun 1973, ikan kecil mummichogs telah dibawa dalam misi Apollo dan sejak itu, pelbagai spesies seperti guppy, zebrafish, dan swordtail telah menjalani pelbagai eksperimen di orbit namun, projek Lunar Hatch merupakan kali pertama ikan dirancang untuk dibiak dan dijadikan sumber makanan tetap bagi angkasawan.

Visi utama Lunar Hatch ialah mewujudkan rantaian makanan kitaran tertutup di bulan menggunakan air yang diperoleh dari ais di kawah-kawah kutub bulan manakala sisa buangan ikan pula akan digunakan untuk membiak mikroalga, yang seterusnya menjadi makanan untuk organisma penapis seperti bivalvia dan zooplankton.

Projek ini telah memakan hampir satu dekad untuk berkembang dari idea ke fasa ujian dan pada tahun 2016, Agensi Angkasa Eropah (ESA) membuka peluang kepada cadangan projek bagi Moon Village, dan Lunar Hatch mendapat dana awal daripada Agensi Angkasa Perancis (CNES) pada 2018.

Ujian awal menunjukkan telur siakap dapat bertahan dalam gegaran kuat pelancaran roket Soyuz, selain mampu mengharungi hipergraviti serta radiasi kosmik tanpa kerosakan DNA dan kini, Przybyla hanya menunggu lampu hijau daripada CNES dan Pusat Angkasa Kennedy, Amerika Syarikat untuk menghantar telur siakap ke angkasa.

Bagi Przybyla, projek ini bukan sahaja penting untuk angkasa lepas, malah menawarkan penyelesaian lestari di bumi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya