Russia keluarkan Taliban daripada senarai kumpulan pengganas

Russia keluarkan Taliban daripada senarai kumpulan pengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia secara rasmi menggantung pengharaman terhadap Taliban yang telah disenaraikan sebagai kumpulan pengganas selama lebih dua dekad, sekali gus membuka ruang bagi Moscow untuk menormalkan hubungan diplomatik dengan kepimpinan Afghanistan.

Tiada negara di dunia yang secara rasmi mengiktiraf kerajaan Taliban yang merampas kuasa di Afghanistan pada Ogos 2021, susulan pengunduran tentera pimpinan Amerika Syarikat (AS) selepas 20 tahun berperang di negara itu.

Namun, Russia telah secara berperingkat membina hubungan dengan pergerakan tersebut dan Presiden, Vladimir Putin tahun lalu menyifatkan Taliban kini sebagai sekutu dalam memerangi keganasan.

Taliban telah diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Russia sejak tahun 2003 tetapi menurut media kerajaan, Mahkamah Agung Russia pada Khamis telah menarik balik pengharaman itu serta-merta.

Russia melihat keperluan untuk bekerjasama dengan Taliban, lebih-lebih lagi ketika negara itu berdepan ancaman keselamatan besar dari kumpulan militan di Afghanistan serta kawasan Asia Barat.

“Russia berhasrat membina hubungan yang saling menguntungkan dengan Afghanistan dalam semua bidang, termasuk memerangi dadah dan keganasan,” kata Kementerian Luar Russia dalam satu kenyataan dipetik Reuters.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa Moscow berterima kasih kepada kerajaan Afghanistan atas operasi ketenteraan menentang cawangan tempatan kumpulan militan IS.

Russia juga bercadang untuk mengukuhkan hubungan perdagangan, pelaburan dan perniagaan dengan Kabul, sambil memanfaatkan kedudukan strategik Afghanistan bagi projek tenaga dan infrastruktur masa depan, kata kementerian itu.

Pada Mac 2024, insiden tembakan berlaku di sebuah dewan konsert berhampiran Moscow dan menyebabkan 145 orang terbunuh.

Serangan itu didakwa dilakukan oleh cawangan IS di Afghanistan, dikenali sebagai ISIS-K malah, pegawai AS turut mengesahkan mereka mempunyai maklumat risikan yang menunjukkan penglibatan kumpulan militan tersebut.

Pihak Taliban pula menyatakan bahawa mereka sedang giat membanteras kehadiran IS di Afghanistan.

Bagaimanapun, menurut diplomat Barat, usaha Taliban untuk meraih pengiktirafan antarabangsa akan terus terbantut selagi mereka tidak mengubah dasar berkaitan hak wanita.

Ketika ini, Taliban telah menutup sekolah menengah dan universiti untuk pelajar perempuan serta mengenakan sekatan terhadap pergerakan wanita tanpa penjaga lelaki.

Namun Taliban berpendapat bahawa mereka menghormati hak wanita berdasarkan tafsiran ketat terhadap undang-undang Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya