DOHA: Perdana Menteri Qatar memaklumkan usaha mencapai gencatan senjata baharu di Gaza menunjukkan sedikit kemajuan, namun persetujuan antara Israel dan Hamas untuk mengakhiri peperangan masih belum dimuktamadkan.
“Khamis lalu, kami lihat ada sedikit kemajuan berbanding perbincangan sebelumnya, tetapi kita masih perlu mencari jawapan kepada persoalan utama iaitu bagaimana mahu menghentikan peperangan ini. Itulah inti keseluruhan rundingan,” kata Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, yang turut memegang jawatan Menteri Luar Negeri Qatar, pada Ahad.
Menurut laporan Axios minggu lalu, Pengarah Mossad, David Barnea telah ke Doha pada Khamis untuk bertemu Sheikh Mohammed dalam usaha mencapai gencatan senjata baharu di Gaza.
Sheikh Mohammed tidak menyatakan aspek khusus perundingan yang menunjukkan kemajuan, tetapi beliau menegaskan bahawa Hamas dan Israel masih berbeza pendapat mengenai matlamat akhir rundingan.
Beliau berkata Hamas bersedia mengembalikan semua tebusan Israel yang masih tinggal jika Israel menghentikan peperangan di Gaza. Namun, Israel mahukan kumpulang pejuang Palestin itu membebaskan tebusan tanpa memberikan jaminan jelas tentang pengakhiran perang.
“Apabila tiada objektif bersama antara kedua-dua pihak, saya percaya peluang (untuk mengakhiri perang) menjadi sangat tipis,” kata Sheikh Mohammed dalam sidang media di Doha bersama Menteri Luar Turkye, Hakan Fidan.
Fidan pula berkata perbincangan pegawai Turkiye dengan Hamas menunjukkan kumpulan itu lebih terbuka kepada perjanjian yang bukan sekadar gencatan senjata, tetapi juga penyelesaian kekal terhadap krisis dengan Israel, termasuk penyelesaian dua negara.
Selepas itu, sumber diplomatik Turkiye memaklumkan Fidan bertemu pegawai kanan Hamas di Doha untuk membincangkan rundingan gencatan senjata dan situasi kemanusiaan di Gaza.
“Pihak Hamas menyatakan mereka terus berusaha untuk gencatan senjata kekal selain turut berkongsi maklumat mengenai mesyuarat yang diadakan dalam beberapa hari kebelakangan,” kata sumber itu.