ATHENS: Pulau Santorini, satu daripada destinasi pelancongan terkemuka di selatan Laut Aegean diancam letusan gunung berapi berikutan beberapa gegaran bumi yang berlaku awal tahun ini.
Santorini yang terkenal dengan lanskap indah dan tarikan sejarahnya, menerima 3.4 juta pelancong setiap tahun namun, pulau yang terbentuk hasil letusan gunung berapi purba itu kini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli geologi antarabangsa.
Kali terakhir gunung berapi di pulau berkenaan meletus adalah pada tahun 1950 tetapi menurut saintis, satu tempoh yang digelar sebagai ‘ketidakstabilan’ pernah direkodkan pada tahun 2012, menunjukkan isyarat awal potensi aktiviti semula gunung berapi tersebut.
Pakar gunung berapi dari Pusat Oseanografi Kebangsaan Britain, Prof. Isobel Yeo menyatakan gunung berapi marin di kawasan itu berupaya menghasilkan letusan yang besar dan merosakkan.
“Kita sering terbuai dengan rasa selamat kerana terbiasa dengan letusan kecil, dan menganggap letusan seterusnya juga tidak berbahaya tetapi tanggapan itu boleh jadi silap,” katanya kepada BBC.
Seorang lagi pakar geologi dari Greece, Prof. Nomikou berkata, penyelidikan ini amat penting memberi kesedaran kepada penduduk tempatan mengenai tahap aktiviti gunung berapi serta kawasan yang akan diisytiharkan sebagai zon larangan sekiranya letusan berlaku.
Ketika gegaran bumi berlaku awal tahun ini, hampir separuh daripada 11,000 penduduk tetap pulau itu meninggalkan Santorini sebagai langkah berjaga-jaga.
Lembaga Pelancongan Greece memaklumkan Santorini kini kembali beroperasi seperti biasa selepas menerima ‘lampu hijau’ daripada para saintis.