TEHERAN: Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Sabtu menggesa perluasan kerjasama serantau dalam memerangi keganasan semasa perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan dan Perdana Menteri India.
Menurut kenyataan pejabatnya, Pezeshkian membincangkan hubungan dua hala serta isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama dalam kedua-dua perbualan itu.
Bercakap dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Pezeshkian menegaskan insiden keganasan terbaharu di rantau itu meningkatkan keperluan untuk memperkukuh kerjasama serantau bagi membanteras “fenomena jahat” keganasan serta memusnahkan sumber kewangan dan senjata kumpulan pengganas.
Beliau melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian-kejadian terbabit, sambil menegaskan tumpuan diberikan kepada segala usaha untuk memastikan keamanan, keselamatan dan ketenangan di rantau terbabit.
Pezeshkian turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan antara India dan Pakistan, khususnya selepas insiden keganasan berdarah di Pahalgam, Kashmir sambil menekankan bahawa kejadian sebegini hanya mencetuskan perpecahan dan ketegangan sesama negara serantau.
Beliau berkata Iran bersedia menawarkan bantuan untuk menjernihkan salah faham dan meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.
Dalam perbualan itu, Perdana Menteri Pakistan mengecam keras sebarang tindakan keganasan, menyatakan negaranya sendiri menjadi mangsa keganasan dan memahami pentingnya memeranginya secara tegas.
Menerusi perbualan telefonnya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, Pezeshkian mengutuk keras insiden keganasan itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan serta rakyat India.
Beliau menyeru kerjasama antara negara serantau dalam memerangi keganasan serta memperkukuh solidariti menghadapi “ancaman bersama.”
Pezeshkian juga menegaskan peningkatan serangan keganasan di rantau itu sebagai alasan untuk mempercepatkan usaha kolektif dalam membasmi keganasan demi menjamin keamanan dan kestabilan yang berkekalan.