GUANDONG: Seorang penumpang perkhidmatan e-hailing di China berdepan detik cemas apabila pemandunya membawa kenderaan dalam mod pemanduan automatik pada kelajuan tinggi sekitar 130 kilometer sejam (km/j) di lebuh raya pada waktu malam.
Namun penumpang itu hanya menerima kupon pampasan bernilai 5 yuan (RM3) selepas membuat aduan.
Penumpang yang dikenali dengan nama keluarga Li, telah menempah perjalanan melalui aplikasi HelloRide milik syarikat gergasi Alibaba pada malam 5 April lalu bagi perjalanan sejauh 180 km dari Foshan ke Luoding di wilayah Guangdong, selatan China yang biasanya mengambil masa kira-kira dua jam.
Menurut Li, perjalanan itu amat menakutkan apabila pemandu lelaki tersebut tidak memegang stereng dan asyik melihat telefonnya sepanjang perjalanan, walaupun kenderaan dipandu dalam mod autopilot di laluan laju dengan kelajuan antara 120km hingga 130 km/j.
Tambah Li, pemandu berkenaan juga kelihatan mengantuk dan tidak menumpukan perhatian kepada pemanduan, manakala beliau yang merupakan satu-satunya penumpang tidak berani menegur dan hanya mampu berjaga serta memerhati jalan sepanjang masa.
Li sempat merakam video secara rahsia dan membuat aduan kepada pihak HelloRide serta melaporkannya kepada pihak polis trafik.
Sebagai respon, syarikat e-hailing itu memaklumkan bahawa pemandu telah diberi amaran dan menawarkan Li kupon diskaun bernilai lima yuan.
Li membayar tambang sebanyak 270 yuan (RM163) untuk perjalanan tersebut dan bersyukur masih hidup selepas pengalaman mengerikan itu.
Ramai warganet yang turut meluahkan kemarahan dan kebimbangan terhadap kejadian itu.
“Dia sepatutnya menegur pemandu itu. Kemalangan pada kelajuan 130km/j boleh membawa maut.
“Ini satu lagi contoh ketergantungan melampau terhadap teknologi pemanduan automatik. Pemandu yang mengabaikan keselamatan penumpang tidak seharusnya dibenarkan memandu.
“Satu kupon lima yuan sebagai pampasan? Itu cuma gurauan,” tambah seorang warganet.
Kes ini muncul hanya beberapa hari selepas satu kemalangan tragis di China meragut nyawa tiga wanita muda apabila kenderaan yang mereka naiki terbakar selepas melanggar pagar konkrit.
Pemandu itu dilaporkan mengaktifkan mod bantuan pemanduan pada waktu malam tanpa memegang stereng sebelum seorang daripada penumpang cuba mengambil alih kawalan apabila sistem memberi amaran, namun kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas.
Peraturan keselamatan jalan raya di China melarang sebarang tingkah laku berbahaya ketika memandu, termasuk menggunakan telefon bimbit atau menonton televisyen.
Susulan beberapa insiden berkaitan teknologi bantuan pemanduan, beberapa lebuh raya di China kini memasang papan tanda mengingatkan pemandu supaya tidak terlalu bergantung kepada sistem automatik dan sentiasa berwaspada. -AGENSI