WASHINGTON: Pejabat Belanjawan Rumah Putih mencadangkan penghentian pembiayaan untuk misi keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan merujuk kepada kegagalan operasi di Mali, Lubnan, dan Republik Demokratik Congo, menurut dokumen perancangan dalaman.
Washington merupakan penyumbang terbesar kepada PBB, diikuti China.
Washington menyumbang sebanyak 22 peratus daripada bajet tetap utama PBB berjumlah AS$3.7 bilion (RM16.34 billion) dan 27 peratus daripada bajet operasi pengaman PBB sebanyak AS$5.6 billion (RM24.72 billion).
Sumbangan ini adalah bersifat wajib bagi negara anggota berdasarkan struktur pembiayaan organisasi tersebut.
Menurut laporan Reuters, cadangan pemotongan bajet keamanan ini termasuk dalam dokumen yang dikenali sebagai ‘Passback’ iaitu respons Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB) terhadap permintaan pembiayaan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) untuk tahun fiskal akan datang yang bermula pada 1 Oktober.
Secara keseluruhan, rancangan ini bertujuan memotong separuh daripada bajet Jabatan Negara.
Bajet baharu ini perlu diluluskan oleh Kongres, dan ahli Parlimen boleh memutuskan untuk memulihkan sebahagian atau kesemua pembiayaan yang dicadangkan untuk dipotong oleh pentadbiran.
Semasa penggal pertama Presiden AS, Donald Trump, beliau mencadangkan pemotongan kira-kira satu pertiga daripada bajet diplomasi dan bantuan.
Namun, Kongres, yang menetapkan bajet kerajaan persekutuan, menolak cadangan Trump.
“Tiada rancangan atau bajet muktamad,” kata jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce, kepada pemberita apabila ditanya mengenai cadangan OMB, pada Selasa
OMB mencadangkan penghentian Sumbangan untuk Aktiviti Keamanan Antarabangsa (CIPA).
“Sebagai contoh, tiada peruntukan diberikan kepada CIPA, serta menamatkan sumbangan kepada operasi pengaman antarabangsa.
“Langkah ini diambil berikutan beberapa kegagalan dalam misi pengaman baru-baru ini seperti MINUSMA (Mali), UNIFIL (Lubnan), dan MONUSCO (Republik Demokratik Congo), selain beban penilaian kewangan yang dianggap terlalu tinggi dan tidak seimbang,” menurut petikan daripada dokumen Passback.
Bajet keamanan PBB membiayai sembilan misi di Mali, Lubnan, Republik Demokratik Congo, Sudan Selatan, Sahara Barat, Cyprus, Kosovo, sempadan antara Syria dan Dataran Tinggi Golan yang diduduki Israel, serta Abyei, sebuah kawasan pentadbiran yang diurus bersama oleh Sudan Selatan dan Sudan.
OMB Passback juga mencadangkan penubuhan Dana Peluang America First (A1OF) bernilai AS$2.1 bilion (RM9.27 bilion) yang dikatakan akan digunakan untuk menampung keutamaan terhad dalam bantuan ekonomi dan pembangunan luar negara.
“Sekiranya Pentadbiran ingin membayar sebarang penilaian untuk Bajet Tetap PBB atau penilaian keamanan, kami akan menyediakan pembiayaan tersebut daripada A1OF,” menurut OMB Passback.
AS berhutang hampir AS$1.5 bilion (RM6.62 bilion) untuk bajet tetap PBB dan hampir AS$1.2 bilion (RM5.3 bilion) untuk bajet keamanan, termasuk tunggakan dan tahun fiskal semasa.
Sesebuah negara boleh menunggak sehingga dua tahun sebelum menghadapi risiko kehilangan hak mengundi dalam Perhimpunan Agung PBB yang mempunyai 193 ahli.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bulan lalu berkata, beliau sedang mencari cara untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos di tengah krisis kewangan ketika pertubuhan itu mencecah usia 80 tahun, tahun ini. – REUTERS