GENEVA: Anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencapai persetujuan untuk mempersiapkan dunia menghadapi pandemik masa depan selepas lebih tiga tahun rundingan.
Menurut kenyataan WHO semalam, perjanjian yang mengikat secara sah itu bertujuan memperkukuh pertahanan global terhadap patogen baharu susulan pandemik Covid-19, yang meragut berjuta-juta nyawa pada 2020 hingga 2022.
Cadangan tersebut menggariskan langkah untuk mencegah pandemik pada masa depan dan mengukuhkan kerjasama global.
Ini termasuk, mewujudkan akses patogen dan sistem perkongsian faedah serta membina kapasiti penyelidikan yang pelbagai secara geografi.
Perjanjian itu juga mencadangkan rantaian bekalan global dan rangkaian logistik sambil menekankan ketahanan serta kesediaan sistem kesihatan yang lebih kukuh.
“Selepas lebih tiga tahun rundingan intensif, negara anggota WHO mengambil langkah besar ke hadapan dalam usaha untuk menjadikan dunia lebih selamat dari pandemik,” kata WHO.
Menurutnya, cadangan itu akan dipertimbangkan pada mesyuarat dasar Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada Mei.
“Ini adalah detik bersejarah bahawa dengan atau tanpa Amerika Syarikat (AS), negara anggota komited untuk bekerjasama dan mempercayai kuasa multilateralisme,” kata pengasas badan pemikir kesihatan global, Nina Schwalbe kepada Reuters.
Perjanjian itu dilihat sebagai kemenangan untuk agensi kesihatan global itu,ketika organisasi pelbagai hala seperti WHO berdepan pemotongan dana dalam pembiayaan asing oleh Amerika Syarikat (AS).
AS, yang lambat menyertai rundingan awal, meninggalkan perbincangan tahun ini selepas Presiden, Donald Trump mengeluarkan perintah eksekutif untuk menarik AS keluar daripada WHO pada Februari lalu.