KAHERAH: Satu usul gencatan baharu bagi menghentikan konflik di Semenanjung Gaza kini giat dibincangkan secara serius oleh pihak yang terlibat, menurut sumber kanan Palestin yang rapat dengan proses rundingan antara Israel dan Hamas.
Menurut sumber tersebut, cadangan yang dibawa oleh pengantara Qatar dan Mesir ini mengandungi beberapa elemen utama termasuk gencatan senjata jangka panjang antara lima hingga tujuh tahun.
Rancangan ini juga mencadangkan pertukaran tahanan menyeluruh, menyaksikan semua tebusan Israel akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan pelepasan tahanan Palestin di penjara Israel.
Usul ini merangkumi komitmen mengakhiri perang secara rasmi serta penarikan penuh tentera Israel dari Gaza.
Satu delegasi kanan Hamas dikatakan akan tiba di Kaherah tidak lama lagi bagi membincangkan cadangan ini secara terperinci.
Perkembangan terbaharu ini muncul beberapa hari selepas Hamas secara tegas menolak cadangan Israel yang meminta kumpulan pejuang itu melucutkan senjata sebagai syarat untuk gencatan senjata selama enam minggu.
Di pihak Israel, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Sabtu lalu sekali lagi menegaskan pendirian bahawa perang tidak akan berakhir selagi Hamas tidak dihapuskan sepenuhnya dan semua tebusan Israel dibebaskan.
Namun, menurut sumber Palestin, Hamas dikatakan menunjukkan sikap lebih fleksibel dalam rundingan kali ini.
Kumpulan itu dilaporkan bersedia menyerahkan pentadbiran Gaza kepada mana-mana entiti Palestin yang dipersetujui bersama di peringkat nasional dan serantau.
“Boleh jadi Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang berpusat di Tebing Barat, atau mungkin sebuah badan pentadbiran baharu yang akan dibentuk,” jelas sumber tersebut kepada BBC.
Pendirian ini bagaimanapun bercanggah dengan kenyataan Netanyahu yang sebelum ini menolak sebarang bentuk penglibatan PA dalam pemerintahan Gaza selepas perang.