KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mencipta laluan baharu sebagai atlet profesional bebas yang disifatkan sebagai langkah berani yang mungkin jadi acuan masa depan sukan negara.
Pengarah teknikal berbasikal kebangsaan, John Beasley berkata, bekas juara dunia 2017 itu tidak lagi perlu hadir ke latihan harian di bawah pengawasan jurulatih tetap, sebaliknya beliau menguruskan sendiri kerjayanya dengan hanya berbekalkan pelan latihan dan analisis data jarak jauh.
Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman kini menjalani latihan di Melbourne, Australia dan Beasley masih merangka latihannya dari Malaysia.
“Dia (Azizulhasni) bukan sekadar pelumba. Dia kini ibarat pengurus prestasi diri sendiri. Dia sangat bermotivasi tinggi dan berdisiplin, jadi ia tidak akan menjadi masalah.
“Dia sememangnya tidak perlukan jurulatih untuk memaksa atau mengarahkannya semasa latihan,” kata Beasley.
Langkah itu muncul selepas Azizul memutuskan untuk terus berlumba selepas Olimpik Paris, meskipun tanpa status pelumba sepenuh masa bawah Program Podium Majlis Sukan Negara (MSN).
Malah, beliau hanya menerima geran RM200,000 untuk dua tahun iaitu peruntukan yang kecil berbanding sokongan penuh yang biasanya dinikmati atlet elit negara lain.
Apa yang dilakukan oleh Azizulhasni membuka mata bahawa seorang atlet tidak semestinya terikat sepenuhnya dengan struktur kebangsaan untuk kekal kompetitif, namun cukup dengan keazaman, kepakaran, dan rangkaian sokongan yang fleksibel.
Langkah ini bukan sahaja mencabar norma pembangunan atlet negara, tetapi memberi isyarat bahawa sudah tiba masa Malaysia mempertimbang model baharu bagi menyokong atlet elit pasca Olimpik. – UTUSAN











