TAIPEI: Seorang bekas pekerja kedai minuman di Taiwan menerima gaji terakhir berjumlah NT$6,972 (RM943.09) sepenuhnya dalam bentuk syiling pelbagai nilai selepas berlaku pertikaian dengan majikannya.
Lapor South China Morning Post, insiden itu berlaku apabila seorang wanita berusia 19 tahun yang dikenali dengan nama keluarga Liu, memuat naik kisahnya di media sosial, memberitahu majikannya menyerahkan satu beg plastik berisi syiling sebagai gaji terakhirnya selepas dia meletak jawatan.
Menurut laporan EBC News, syiling yang diberikan terdiri daripada syiling NT$1 (13 sen), NT$5 (67 sen), dan NT$10 (RM1.35), menyebabkan Liu mengambil masa hampir sejam untuk mendepositkannya ke dalam akaun bank.
“Saya dapati wang NT$20 (RM2.70) tidak cukup dan apabila saya mempersoalkannya, majikan saya bergurau kepada orang lain dengan berkata, ‘Ada pengemis di sini, beri dia NT$20′,” kata Liu.
Pemilik kedai itu mempertahankan tindakannya dan menyatakan ia adalah satu bentuk hukuman atau ‘pengajaran bermakna’ terhadap Liu kerana sikapnya yang dikatakan tidak baik terhadap rakan sekerja dan kerap tidak hadir bekerja.
“Saya beritahunya, semasa bekerja, kita perlu hormat orang lain dan jaga komunikasi. Dia membalas dengan nada acuh tak acuh dan mengatakan dia bersikap begitu kerana baru bangun tidur,” kata pemilik kedai itu kepada TVBS News.
Majikan tersebut juga mendakwa Liu meminjam sebahagian daripada gajinya lebih awal walaupun baru bekerja sebulan, dan pernah tidak hadir bekerja selama tiga hari tanpa notis.
“Undang-undang buruh di Taiwan perlu disemak semula. Saya menyokong usaha untuk mencegah eksploitasi pekerja, tetapi mengapa tiada peraturan yang tegas terhadap pekerja yang tidak hadir bekerja tanpa alasan munasabah?” katanya lagi.
Tambahnya, dia telah menawarkan untuk menukar syiling itu kepada wang kertas sekiranya Liu memohon maaf, namun tawaran tersebut ditolak.
Pesuruhjaya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Biro Hal Ehwal Buruh Bandar Tainan, Li Xuanchang berkata, majikan itu tidak melambatkan pembayaran mahupun mengurangkan jumlah gaji Liu, jadi secara teknikal tidak berlaku pelanggaran undang-undang buruh.
Namun katanya, tindakan ini jelas tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan.
Kes ini menerima kecaman hebat daripada masyarakat Taiwan, dengan ramai mengkritik tindakan majikan berkenaan.
“Adakah majikan ini sengaja berbuat begitu untuk menjadi contoh kepada majikan yang suka menindas pekerja?
“Agaknya kedai itu sedang rugi, kerana majikannya mempunyai banyak masa untuk mengira semua duit syiling itu,” sindir seorang warganet.
Insiden tersebut mengingatkan kepada kes serupa yang berlaku di wilayah Sichuan, di mana seorang majikan cuba menyelesaikan pertikaian buruh dengan membayar gaji pekerja sebanyak 8,000 yuan (RM4,820) dalam bentuk syiling seberat 10 kilogram.
Akhirnya, majikan itu terpaksa mengira syiling tersebut di mahkamah tetapi menyerah kalah di tengah jalan kerana terlalu penat, dan akhirnya bersetuju untuk membayar melalui pemindahan bank serta membuat permohonan maaf secara bertulis.