Lebih 3,000 bangunan di Thailand terjejas pasca gempa bumi

Lebih 3,000 bangunan di Thailand terjejas pasca gempa bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Gempa bumi kuat berukuran 8.2 magnitud yang melanda Mandalay, Myanmar pada 28 Mac lalu telah menyebabkan kemusnahan besar di Thailand, dengan lebih 3,000 bangunan kerajaan terjejas, menurut Jabatan Kerja Raya dan Perancangan Bandar dan Desa (DPT).

Sehingga hari ini, DPT melaporkan sebanyak 3,375 bangunan kerajaan telah diperiksa pasca-gempa, dengan 34 daripadanya mengalami kerosakan teruk dan tidak lagi selamat untuk digunakan.

Pasukan penilaian kerosakan yang terdiri daripada Majlis Jurutera Thailand, Institut Kejuruteraan Thailand serta 110 jurutera sukarelawan telah bertindak pantas menjalankan pemeriksaan ke atas bangunan yang terjejas.

Daripada 367 bangunan kerajaan yang diperiksa di kawasan metropolitan Bangkok, sebanyak 334 didapati selamat, manakala 30 lagi mengalami kerosakan sederhana tetapi masih boleh digunakan.

Namun, tiga bangunan serta sebuah jambatan mengalami kerosakan serius dan diklasifikasikan sebagai tidak selamat.

Sementara itu, di kawasan luar bandar, sebanyak 3,008 bangunan telah diperiksa dengan 2,796 daripadanya disahkan selamat.

Bagaimanapun, 181 bangunan mengalami kerosakan sederhana dan masih digunakan, manakala 31 bangunan lagi mengalami kerosakan parah dan dilarang penggunaannya berikutan risiko runtuhan.

Secara keseluruhan, gempa bumi tersebut telah menyebabkan 221 bangunan mengalami kerosakan sederhana, manakala 34 bangunan kerajaan mengalami kerosakan teruk sehingga tidak boleh digunakan.

DPT turut menggesa pemilik bangunan tinggi, hotel, kondominium, asrama dan pusat membeli-belah supaya mendapatkan pemeriksaan menyeluruh daripada jurutera bertauliah bagi memastikan keselamatan serta integriti struktur bangunan masing-masing.

Sementara itu, Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt pada Ahad menggesa pemilik kira-kira 11,000 bangunan di ibu kota agar menjalankan pemeriksaan keselamatan ke atas premis mereka.

Beliau menegaskan langkah itu bersifat sukarela tetapi amat penting bagi memastikan tiada insiden lanjut berpunca daripada kerosakan akibat gempa. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN