Jurucakap Rumah Putih dikritik pakai baju buatan China - Utusan Malaysia

Jurucakap Rumah Putih dikritik pakai baju buatan China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tindakan jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, yang mengenakan pakaian dipercayai buatan China ketika memberi taklimat media baru-baru ini mencetuskan gelombang sindiran dan kritikan dalam kalangan pengguna media sosial di China yang menyifatkan tindakan itu sebagai ‘hipokrit’.

Imej Leavitt mengenakan gaun merah dengan sulaman renda hitam menjadi tular dalam media sosial popular China seperti Sina Weibo dan Xiaohongshu, dengan ramai mempersoalkan kewajaran seorang pegawai kanan kerajaan Amerika Syarikat memakai produk yang dikaitkan dengan China, sedangkan Washington giat melancarkan perang tarif terhadap Beijing.

Gaun tersebut dikenal pasti sebagai keluaran jenama mewah Britain, Self-Portrait, yang diasaskan oleh pereka fesyen keturunan Cina dari Malaysia, Han Chong, dan dipercayai telah dihasilkan di kilang di China.

Perkara itu pertama kali dibangkitkan menerusi satu ciapan oleh Konsul Jeneral China di Denpasar, Indonesia, Zhang Zhisheng di mana dalam hantaran tersebut, beliau berkata menyalahkan China merupakan satu perniagaan dan membeli dari negara tembok besar tersebut adalah satu keperluan hidup.

Zhang turut memuat naik beberapa tangkapan layar dan gambar Leavitt serta mendakwa seorang pekerja kilang mengesahkan renda hitam pada gaun berkenaan adalah hasil buatannya.

“Mereka ini hipokrit. Lucu juga melihat situasi ini,” kata seorang pengguna yang membalas ciapan Zhang.

Beberapa pengguna media sosial lain turut mengimbas penampilan Leavitt dalam sesi-sesi taklimat sebelum ini dan mendakwa terdapat lebih banyak pakaian yang dipakainya turut dipercayai berasal dari China.

Perdebatan mengenai pemilihan fesyen Leavitt tercetus ketika dasar ‘America First’ yang dibawa Presiden AS, Donald Trump terus mencetuskan ketidaktentuan dalam perdagangan global.

Malah, topi merah berlogo “Make America Great Again” yang menjadi simbol kempen Trump turut menerima perhatian, apabila timbul persoalan sama ada ia turut dihasilkan secara besar-besaran di China.

Situasi ini jelas menunjukkan jurang antara retorik dasar politik dengan realiti rantaian bekalan global yang masih bergantung kepada kekuatan pengeluaran dari China. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya