HONG KONG: Perkhidmatan pos Hong Kong mengumumkan menghentikan penghantaran barangan ke Amerika Syarikat (AS) sebagai respons terhadap keputusan Presiden, Donald Trump menaikkan tarif import secara drastik yang dianggap sebagai tindakan ‘membuli’.
Dalam satu kenyataan rasmi, Hongkong Post menegaskan mereka tidak akan mengutip sebarang cukai atau tarif bagi pihak kerajaan AS dan akan menggantung penerimaan semua bungkusan yang mengandungi barangan ke negara itu.
“AS bertindak tidak munasabah dan membuli, serta mengenakan tarif secara melampau.
“Justeru bermula semalam, semua kiriman ke AS akan dihentikan serta-merta, manakala kiriman udara akan dihentikan bermula 27 April. Bagaimanapun, kiriman yang hanya mengandungi dokumen tidak akan terjejas,” kata Hongkong Post.
Perkhidmatan pos juga memaklumkan, bagi kiriman yang belum dihantar, mereka akan menghubungi pengirim untuk memulangkan barangan tersebut bersama caj pos bermula 22 April.
Langkah ini dibuat selepas Trump menandatangani perintah baharu yang membatalkan pengecualian cukai ke atas bungkusan kecil dari China, yang sebelum ini membolehkan barangan bernilai bawah AS$800 (RM3,532) memasuki AS tanpa dikenakan cukai atau duti.
Peraturan itu banyak digunakan oleh syarikat gergasi e-dagang dari China seperti Shein dan Temu.
Meskipun Hong Kong merupakan sebahagian daripada China, wilayah itu mempunyai dasar perdagangan bebasnya sendiri dan tidak mengenakan tarif balas seperti yang dilakukan oleh Beijing.-AFP