NARATHIWAT: Keputusan kerajaan Thailand yang meluluskan kenaikan elaun bagi guru pendidikan Islam di lima wilayah selatan negara itu memberi khabar gembira kepada masyarakat Islam di negara ini.
Pengarah Pejabat Pendidikan Swasta daerah Sungai Kolok, Mayuha Mama berkata, langkah itu merupakan satu inisiatif penting dalam usaha meningkatkan kualiti hidup guru di samping memupuk kesaksamaan yang lebih menyeluruh dalam kalangan masyarakat.
Di bawah dasar baharu tersebut, guru yang mengajar di pusat pendidikan Islam berasaskan masjid (tadika) akan menerima kenaikan elaun bulanan daripada 3,000 baht (RM395) kepada 3,500 baht (RM461).
Menurut Mayuha, guru tadika kebiasaannya hanya bertugas antara lapan hingga sembilan hari sebulan, dan dengan kenaikan itu, mereka kini memperoleh hampir 400 baht (RM52) sehari, melebihi kadar gaji minimum harian.
Turut menikmati kenaikan elaun ialah petugas di sekolah pondok Islam (pondok) di mana guru pondok kini akan menerima elaun bulanan sebanyak 4,000 baht (RM527) berbanding 2,000 baht (RM263) sebelum ini, manakala pembantu guru pondok pula menerima kenaikan kepada 3,500 baht (RM462).
“Perubahan ini mencerminkan tanggungjawab guru pondok yang berkhidmat sepanjang masa serta peranan penting mereka dalam mendidik generasi masa depan,” katanya.
Kabinet juga bersetuju menambah bilangan guru yang layak menerima subsidi kerajaan di mana bagi pusat pendidikan yang menampung sehingga 180 pelajar, jumlah guru yang layak menerima subsidi ditambah daripada empat kepada enam orang, selaras dengan enam tahap pendidikan rendah.
Bagi pusat yang mempunyai lebih 180 pelajar pula, bantuan subsidi akan disalurkan mengikut nisbah seorang guru bagi setiap 30 pelajar, dengan had maksimum sebanyak 12 orang guru setiap pusat.
Jurucakap Timbalan Kerajaan, Anukul Prueksanusak berkata, inisiatif ini bertujuan menangani cabaran unik yang dihadapi penduduk di wilayah selatan dan sebagai usaha memperkukuh keadilan serta keamanan berpanjangan di rantau berkenaan.
Mayuha turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Jeneral Polis Permpoon Chidchob, kerajaan, ahli-ahli parlimen tempatan dan agensi kerajaan yang terlibat dalam menjayakan dasar tersebut. -AGENSI