HAVANA: Timbalan Menteri Luar Cuba, Josefina Vidal, melihat risiko pencerobohan tentera Amerika Syarikat (AS) terhadap negara itu semakin meningkat ketika rundingan antara kedua-dua negara terus menemukan jalan buntu.
Bercakap dalam sesi pendengaran perundangan di Capitol Negara bagi mengecam sekatan AS terhadap import minyak Cuba kelmarin, Vidal menuduh Washington mereka-reka alasan untuk menggambarkan Cuba sebagai ancaman kepada keselamatan negara AS bagi mewajarkan pencerobohan.
“Setiap hari risiko pencerobohan ketenteraan terhadap Cuba semakin meningkat,” katanya.
Di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump, AS mengenakan sekatan terhadap Cuba dengan mengancam negara-negara yang membekalkan bahan api kepada Havana, sekali gus mencetuskan gangguan bekalan elektrik dan memburukkan lagi krisis paling teruk dalam beberapa dekad.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata pada Rabu, beliau yakin dialog antara kedua-dua negara yang bermula sekitar Mac akan membawa ‘hasil yang baik’.
Pihak berkuasa Cuba pula menegaskan mereka tidak akan membenarkan campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara dan mengkritik AS kerana didakwa tidak menunjukkan niat baik dalam rundingan.
“Saluran komunikasi antara kedua-dua kerajaan masih terbuka, tetapi tidak banyak kemajuan dicapai. Kami mempunyai sebab untuk meragui keseriusan dan tanggungjawab kerajaan AS,” kata Vidal.
Dalam peningkatan terbaharu kempen tekanan Trump, AS secara rasmi mendakwa bekas Presiden, Raul Castro atas empat pertuduhan membunuh berhubung insiden tembak jatuh pesawat awam pada 1996 yang dikendalikan kumpulan buangan di Miami.
Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez memberi amaran sebarang tindakan ketenteraan akan mencetuskan pertumpahan darah yang boleh mengorbankan ribuan rakyat Cuba dan AS.- AGENSI










