LONDON: Empat pasukan polis terbesar di United Kingdom (UK) masih menggunakan dron buatan China keluaran DJI Technology bagi tujuan pemantauan dan siasatan, meskipun sudah diberi amaran oleh agensi keselamatan negara mengenai potensi risiko diintip dua tahun lalu.
Menurut laporan i newspaper yang menganalisis dokumen awam, pasukan yang terlibat ialah Polis Metropolitan London, Polis Greater Manchester, Polis Scotland dan Polis West Midlands.
Pada tahun 2023, peringatan dikeluarkan oleh agensi perisikan domestik, MI5, yang menyarankan agar agensi kerajaan tidak menggunakan sistem udara tanpa pemandu (UAS) dari negara yang mengamalkan ‘amalan perkongsian data secara paksaan’ kenyataan yang dilihat merujuk secara langsung kepada China.
Pegawai keselamatan bimbang maklumat sensitif dan imej yang dirakamkan oleh dron tersebut berisiko untuk diakses oleh pihak berkuasa China malah, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah menyenaraihitamkan syarikat DJI atas dakwaan mempunyai kaitan dengan ketenteraan China.
Walau bagaimanapun, DJI menafikan dakwaan produknya menghantar data kepada pihak tidak dibenarkan dan menegaskan bahawa dron keluarannya telah lulus ujian keselamatan bebas dan kerajaan, sekali gus disahkan sebagai ‘selamat dan terjamin’.
Kementerian Pertahanan UK turut melarang kenderaan elektrik yang mungkin mengandungi komponen buatan China daripada memasuki pangkalan tentera, menandakan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ancaman keselamatan siber.
Pada tahun lalu, pendedahan turut dibuat dua pertiga daripada dron yang digunakan oleh pasukan polis UK adalah buatan DJI.
Lanjutan daripada itu, satu pasukan khas kerajaan yang diketuai oleh bekas Menteri Keselamatan, Tom Tugendhat ditubuhkan bagi meneliti kontrak-kontrak berkaitan.
Pengarah Eksekutif Perikatan Antara Parlimen Mengenai China, Luke De Pulford berkata, kerajaan perlu bertindak segera untuk melindungi data sensitif negara.
“Kerajaan tidak boleh berdiam diri apabila maklumat keselamatan dalam negeri berisiko terdedah,” katanyai. – AGENSI