Draf undang-undang New Zealand cadang takrif 'biologi' lelaki dan wanita

Draf undang-undang New Zealand cadang takrif ‘biologi’ lelaki dan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WELLINGTON: Sebuah parti populis dalam gabungan kerajaan New Zealand mencadangkan satu undang-undang untuk menguatkuasakan definisi lelaki dan wanita berdasarkan biologi, sambil mengecam apa yang dipanggil sebagai ‘ideologi woke’ dan ‘kejuruteraan sosial’ yang merosakkan.

Parti New Zealand First yang berkempen untuk mengharamkan wanita transgender daripada menggunakan tandas wanita atau menyertai sukan wanita memaklumkan, mereka telah mengemukakan draf undang-undang itu ke Parlimen.

Usaha itu dilancarkan kurang seminggu selepas Mahkamah Agung Britain memutuskan bahawa takrif sah wanita adalah berdasarkan jantina seseorang semasa lahir.

“Perkembangan dalam dan luar negara menunjukkan bahawa arus sedang kembali ke arah kewarasan dan membuktikan bahawa kami berada di pihak yang benar,” kata Timbalan Perdana Menteri, Winston Peters yang mengetuai parti tersebut.

Draf undang-undang itu mentakrifkan wanita sebagai seorang perempuan biologi dewasa dan lelaki sebagai seorang lelaki biologi dewasa.

Menurut Peters, ia adalah langkah untuk menghapuskan ‘ideologi woke’ yang menurutnya telah melemahkan keselamatan dan perlindungan wanita.

“Takrifan undang-undang ini adalah satu langkah balas terhadap ‘kanser kejuruteraan sosial’ berbahaya yang telah disebarkan oleh golongan woke yang minoriti.

“Keperluan untuk undang-undang seperti ini menunjukkan betapa jauh masyarakat kita telah dipengaruhi oleh golongan kiri yang tersasar. Tetapi kami akan melawan balik,” katanya dalam satu kenyataan.

Parti New Zealand First merupakan ahli terkecil dalam gabungan tiga parti yang membentuk kerajaan dan tidak jelas sama ada mereka mempunyai sokongan mencukupi untuk meluluskan undang-undang itu.

Tambahan pula, draf tersebut dikemukakan oleh seorang ahli Parlimen dan bukannya secara rasmi oleh kerajaan menjadikan peluang ia dibahaskan di Parlimen tipis.

Ketua pembangkang berhaluan tengah-kiri, Chris Hipkins berkata, Peters hanya mengejar isu-isu populis untuk mengekalkan sokongan.

“Mereka hanya berminat mengejar satu tajuk berita ke satu tajuk berita lain.

“Mereka sebenarnya tiada program yang benar-benar jelas dan sudah tentu tidak memberi tumpuan kepada perkara yang perlu untuk membawa New Zealand ke hadapan,” kata pemimpin Parti Buruh itu kepada stesen Radio New Zealand.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya