BEIJING: Pengawal pantai China mendakwa merampas kawalan terhadap sebuah beting yang menjadi pertikaian berhampiran pos tentera utama Filipina di Laut China Selatan, menurut media milik kerajaan Beijing, sekali gus menambah ketegangan wilayah yang sudah lama wujud dengan Manila.
Beijing menuntut kedaulatan hampir keseluruhan Laut China Selatan dan menolak tuntutan bersaing daripada negara serantau serta keputusan antarabangsa yang menyatakan tuntutannya tidak mempunyai asas undang-undang.
China dan Filipina sudah terlibat dalam beberapa bulan konfrontasi di perairan yang dipertikaikan, dan ketika ini Manila mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan besar-besaran bersama Amerika Syarikat (AS) yang dikecam oleh Beijing sebagai tindakan yang menggugat kestabilan.
Pengawal pantai China melaksanakan kawalan maritim terhadap Beting Tiexian, yang juga dikenali sebagai Sandy Cay, pada pertengahan April, menurut laporan penyiar negara CCTV, pada Sabtu.
Beting kecil itu merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratly yang terletak berhampiran Pulau Thitu, juga dikenali sebagai Pag-asa, lokasi sebuah fasiliti tentera Filipina.
CCTV melaporkan pengawal pantai China mendarat di Sandy Cay untuk ‘menandakan kawasan di beting itu’, menjalankan pemeriksaan dan mengumpul bukti video mengenai aktiviti haram pihak Filipina.
Penyiar itu turut menunjukkan gambar lima individu berpakaian hitam berdiri di atas beting yang tidak berpenghuni dengan sebuah bot getah berwarna gelap terapung di perairan berdekatan.
Satu lagi gambar menunjukkan empat pegawai pengawal pantai bergambar bersama bendera negara China di atas permukaan beting putih itu.
Kumpulan tersebut juga membersihkan sisa botol plastik, kayu dan sampah lain yang tertinggal di beting berkenaan, lapor CCTV.
Namun, Filipina menafikan laporan China mengambil alih kawalan terhadap beting tersebut.
Seorang pegawai keselamatan tertinggi negara itu berkata, keadaan sebenar di lapangan bercanggah dengan dakwaan Beijing berhubung Sandy Cay.
“Tidak benar, China tidak merampas beting Sandy Cay,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Filipina, Jonathan Malaya.