Changi dinobat lapangan terbang terbaik dunia kali ke-13

Changi rampas kembali gelaran lapangan terbang terbaik dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Changi yang terletak di Singapura sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai hab penerbangan bertaraf global apabila dinobatkan sebagai lapangan terbang terbaik dunia buat kali ke-13 oleh Skytrax, organisasi penarafan pengangkutan udara global.

Lapangan Terbang Changi merampas semula gelaran itu selepas jatuh di tempat kedua pada tahun lalu.

Berbeza dengan lapangan terbang lain, Changi bukan sekadar lokasi transit tetapi juga merupakan destinasi percutian tersendiri.

Penumpang boleh mendaftar masuk lebih awal dan meletakkan bagasi sehingga 48 jam sebelum waktu penerbangan, membolehkan mereka menikmati segala tarikan yang ditawarkan di lapangan terbang itu.

Antara tarikan utama ialah Jewel, pusat beli-belah 10 tingkat yang menerima kehadiran lebih 80 juta pengunjung pada tahun 2024.

Di dalamnya terdapat pelbagai taman dalaman termasuk pusat rama-rama serta air terjun dalaman terbesar dunia, Rain Vortex setinggi 40 meter.

Lapangan terbang itu juga terkenal dengan pelbagai kemudahan lain termasuk spa, hotel, pameran seni, muzium, pawagam dan juga taman tema dinosaur, menjadikannya lebih daripada sekadar terminal penerbangan.

Pada majlis Anugerah Lapangan Terbang Dunia yang berlangsung di Madrid, Skytrax turut mengiktiraf Changi sebagai lapangan terbang dengan hidangan makanan terbaik, tandas terbaik dan yang terbaik di seluruh Asia.

Menurut CNN Business, Changi bakal melabur lebih daripada AS$2 billion (RM8.94 bilion) dalam tempoh enam tahun akan datang bagi menambah baik perkhidmatan dan fasilitinya.

Selain itu, terminal kelima juga sedang dalam pembinaan dan dijangka dibuka pada tahun 2030.

Di tempat kedua senarai Skytrax ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Qatar yang terkenal dengan seni bina mengagumkan dan karya seni moden.

Hamad yang berada di tempat pertama tahun lalu, kali ini turut memenangi anugerah lapangan terbang dengan pusat beli-belah terbaik dunia dan yang terbaik di seluruh Asia Barat.

Asia terus mendominasi senarai global apabila tempat ketiga hingga keenam turut dikuasai oleh lapangan terbang dari rantau ini iaitu Tokyo Haneda yang turut diiktiraf sebagai lapangan terbang paling bersih dan Incheon, Seoul yang juga merangkul anugerah kakitangan terbaik.

Dominasi ini sekali lagi menunjukkan bahawa Asia mendahului dalam kecemerlangan sektor pengangkutan udara, meninggalkan Amerika Utara dan Eropah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya