Tarif tidak bebankan eksport komoditi negara

Tarif tidak bebankan eksport komoditi negara

JOHARI Abdul Ghani menerima cenderamata daripada Mohamed Khaled Nordin selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang, semalam. – MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kadar tarif eksport sebanyak 19 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia termasuk produk komoditi negara seperti kelapa sawit dianggap kompetitif dan tidak membebankan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia setan­ding dengan tarif dikenakan AS terhadap beberapa negara lain di rantau ini.

“Malaysia masih berada pada kedudukan baik daripada segi persaingan, kadar tarif sebanyak 19 peratus oleh AS itu juga antara yang terendah dalam kalangan negara ASEAN.

“Indonesia yang merupakan pengeluar kelapa sawit terbesar dunia juga dikenakan kadar tarif yang sama, kita pula pengeluar sawit nombor dua dunia. Jadi tiada masalah, ‘fair’,” katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Johari yang juga pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam memberitahu, pihaknya yakin kadar tarif tersebut tidak akan menjejaskan eksport komoditi tempatan ke negara berkenaan.

“Eksport komoditi Malaysia masih mampu bersaing di pasaran antarabangsa. Saya tidak nampak masalah setakat ini atas penetapan tarif 19 peratus oleh AS,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan Malaysia dikenakan tarif timbal balik sebanyak 19 peratus daripada 25 peratus, berdasarkan perintah eksekutif ditandatangani Presiden AS, Donald Trump.

Sementara itu, Johari berkata, kepimpinan dan ahli UMNO perlu menukar gaya pemikiran agar bersesuaian dengan dinamik politik semasa yang mana majoriti pengundi hari ini terdiri dalam kalangan terpelajar.

Katanya, kira-kira 40 peratus pengundi di setiap kawasan Parlimen ketika ini adalah individu berpendidikan sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Menurut beliau, gaya pemikiran pengundi di setiap kawasan juga berbeza melibatkan latar belakang berlainan seperti Johor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Kuala Lumpur.

“Golongan pengundi hari ini bukan golongan yang hidup susah dan akan menyokong UMNO hanya kerana nostalgia walaupun parti ini telah memerdeka dan membangunkan negara selama 60 tahun mentadbir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN