ROM: Amerika Syarikat (AS) dan Iran melaporkan kemajuan dalam rundingan tahap tinggi kedua mengenai program nuklear Teheran pada Sabtu dan bersetuju untuk bertemu lagi minggu depan, menurut kedua-dua pihak.
Perbincangan yang diadakan di Rom dengan Oman sebagai perantara berlangsung selama kira-kira empat jam, menurut televisyen negara Iran dan seorang pegawai kanan AS.
Diplomat kanan Iran, Abbas Araghchi menyifatkannya sebagai ‘pertemuan baik’ yang menunjukkan kemajuan.
“Kali ini kami berjaya mencapai pemahaman lebih baik mengenai beberapa prinsip dan matlamat,” katanya.
Pegawai kanan AS dalam satu kenyataan pula berkata, kedua-dua pihak mencapai kemajuan amat baik dalam perbualan langsung dan tidak langsung selama empat jam.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, kedua-dua pihak bersetuju menyambung semula perbincangan tidak langsung di peringkat teknikal dalam beberapa hari akan datang, sebelum diteruskan di peringkat dua wakil perunding kanan pada Sabtu depan.
Oman menyatakan rundingan ketiga akan diadakan di lokasi pertemuan pertama seminggu lalu di Muscat.
Ini merupakan perbincangan tahap tinggi pertama antara dua musuh ketat ini sejak Presiden AS Donald Trump meninggalkan perjanjian nuklear pada 2018.
Negara-negara Barat termasuk AS telah lama menuduh Iran cuba mendapatkan senjata nuklear namun dakwaan ini sentiasa dinafikan Tehran dengan menegaskan bahawa program nuklearnya adalah untuk tujuan awam yang aman.
Menurut Oman, rundingan ini bertujuan mencapai perjanjian yang adil, berkekalan dan mengikat yang akan memastikan Iran bebas sepenuhnya daripada senjata nuklear dan sekatan, sambil mengekalkan keupayaannya membangunkan tenaga nuklear secara aman.